KUALA LUMPUR: Trafik penumpang udara komersial global yang diukur dalam hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) kekal pada trend pertumbuhan yang stabil pada Jun 2024, meningkat 9.1 peratus dari tahun ke tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata jumlah kapasiti, diukur mengikut tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), meningkat 8.5 peratus tahun ke tahun, manakala faktor muatan pada Jun ialah 85 peratus (+0.5 mata peratusan berbanding Jun 2023).

"Permintaan di peringkat antarabangsa meningkat 12.3 peratus berbanding Jun 2023. Kapasiti meningkat 12.7 peratus tahun ke tahun dan faktor muatan meningkat kepada 85 peratus (-0.3 mata peratusan pada Jun 2023).

"Di peringkat domestik pula, ia meningkat 4.3 peratus berbanding Jun 2023. Kapasiti meningkat 2.1 peratus tahun ke tahun, dan faktor muatan ialah 85 peratus (+1.7 mata peratusan berbanding Jun 2023)," katanya.

Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata permintaan meningkat di semua rantau memandangkan musim kemuncak perjalanan iaitu musim panas di utara bermula pada Jun.

"Dengan pertumbuhan kapasiti keseluruhan dalam selang permintaan, kami melihat faktor muatan purata yang sangat kuat sebanyak 85 peratus dicatat dalam kedua-dua operasi domestik dan antarabangsa.

"Beroperasi dengan faktor muatan yang tinggi adalah baik tetapi mencabar," katanya.

Walsh berkata ia menjadikannya lebih penting bagi semua pihak berkepentingan untuk beroperasi dengan tahap kecekapan yang sama bagi meminimumkan kelewatan dan membawa pelancong ke destinasi mereka mengikut jadual.

Dengan berlangsungnya Sukan Olimpik di Paris, beliau berkata wujudnya rasa bangga di seluruh industri penerbangan kerana peranannya yang berterusan dalam menyokong Olimpik dengan membawa ramai atlet, peminat dan pegawai.

Dalam laporan itu, IATA berkata syarikat penerbangan Asia Pasifik terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan trafik industri pada Jun, seperti yang dapat diperhatikan pada tahun lalu.

Ia berkata kadar pertumbuhan berkurangan di seluruh industri apabila pandemik dan tempoh pemulihan memberi laluan kepada angka yang lebih konservatif.

"Terutamanya bagi Asia Pasifik, berlakunya peralihan yang lebih ketara berikutan lonjakan trafik daripada paras rendah pada 2023, memberi kesan ke atas pertumbuhan trafik penumpang," tambahnya.

-- BERNAMA