Dalam hari paling dramatik dalam sejarah politik Kenya baru-baru ini, Gachagua sepatutnya hadir di Senat selepas makan tengah hari untuk membela diri, sehari selepas beliau mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan.
Bagaimanapun, Gachagua atau lebih dikenali sebagai Riggy G tidak muncul dan peguamnya meminta penangguhan kerana anak guamnya mengalami sakit dada dan sedang dirawat di Hospital The Karen.
Bagaimanapun, Senat memilih untuk meneruskan perbicaraan tanpa Gachagua, menyebabkan pasukan pembelaan meninggalkan dewan.
Keengganan untuk menangguhkan prosiding sehingga Sabtu - selagi dibenarkan secara sah - menunjukkan betapa wakil-wkail rakyat tekad untuk menyingkirkan Gachagua, beberapa bulan selepas beliau berselisih faham dengan Presiden William Ruto.
Minggu lalu, majoriti besar Ahli Parlimen di Dewan Negara - dewan rendah Parlimen - mengundi untuk memecatnya sekali gus membuka jalan bagi perbicaraan dua hari di Dewan Negara.
Gachagua, seorang ahli perniagaan kaya dari wilayah Gunung Kenya yang mempunyai jumlah pengundi besar hadir di dewan pada waktu pagi dan menyifatkan pemecatan beliau sebagai "hukuman politik."
Pada petang Khamis, dua pertiga daripada 67 senator yang dikehendaki mengundi untuk menggulingkannya atas tuduhan termasuk rasuah, menghasut perpecahan etnik dan menjejaskan kerajaan.
Para senator mengundi dengan majoriti besar untuk mensabitkannya pada pertuduhan pertama - cukup untuk Gachagua disingkirkan daripada jawatan.
Ini berlaku hanya dua tahun selepas Ruto dan Gachagua dipilih atas tiket bersama.
Undian itu menamatkan pertelagahan berbulan-bulan di peringkat tertinggi kerajaan dan mengukuhkan cengkaman Ruto terhadap kuasa.
Pertelingkahan tersebut memuncak pada bulan Jun apabila Gachagua, dalam tindakan yang dilihat sebagai melemahkan Presiden, menyalahkan ketua agensi perisikan kerana tidak memberikan taklimat yang secukupnya kepada Ruto dan kerajaan mengenai besarnya protes besar-besaran terhadap kenaikan cukai yang tidak popular.
Dalam tamparan hebat terhadap kewibawaannya, Ruto terpaksa menarik balik cukai itu.
Beliau juga telah memecat Kabinetnya dan membawa masuk ahli pembangkang ke dalam kerajaannya.
Sehingga kini, Ruto tidak mengulas mengenai pemecatan timbalannya.
Pada permulaan perbicaraan, salah seorang peguam Gachagua, Elisha Ongoya, berkata semua dakwaan itu "sama ada palsu, tidak masuk akal atau memalukan."
Sebelum pengundian, Gachagua menegaskan, beliau akan mencabar keputusan itu jika ia diluluskan.
Seorang doktor dipetik oleh agensi berita Reuters sebagai berkata, lelaki berusia 59 tahun itu telah mendapatan rawatan di hospital kerana masalah jantung, tetapi stabil dan menjalani ujian. - Agensi