BANGKOK: Tiga individu dilpercayai maut selepas seorang individu berusia 14 tahun melepas tembakan di pusat beli-belah popular, Siam Paragon di sini, pada Selasa.

Empat dilaporkan mengalami kecederaan akibat tembakan dalam insiden yang berlaku pada 4.50 petang (waktu tempatan).

Media tempatan melaporkan, seorang lelaki telah ditahan pada Selasa, susulan insiden tembakan di Bangkok Siam Paragon Mall. Visual dari kamera litar tertutup menunjukkan suspek dipercayai tidak melawan ketika ditahan pihak berkuasa. 

Kompleks membeli belah tersebut telah ditutup susulan laporan berlaku serangan bersenjata, dan beberapa individu dilaporkan telah tercedera akibat serangan tersebut.


Menurut agensi Channel News Asia, rakaman dari video di tempat kejadian menunjukkan kompleks tersebut kosong di bahagian dalam, dan persekitarannya lengang, walaupun kebiasaannya kawasan tersebut sentiasa sesak di sebelah petang.

Beberapa pengguna sosial media turut  berkongsikan video bagaimana orang ramai bertindak melarikan diri dari kawasan tersebut, selain ada yang mendakwa mereka terdengar bunyi tembakan.

Video yang dikongsi pengguna laman X, @janejanejuta menunjukkan terdapat pengunjung dan pekerja kompleks tersebut merangkak dan mencari perlindungan di kawasan yang dilihat seperti medan makan, dan terdengar suara seorang lelaki yang mengarahkan kumpulan tersebut duduk.