Raja Maha Vajiralongkorn memperkenankan barisan kabinet baharu Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-cha, sebagaimana diumumkan dalam Warta Diraja malam ini.

Dalam barisan baharu itu, Perdana Menteri Thai itu menggugurkan dua timbalannya, Laksamana Narong Phiphatthanasai dan Jen Thanasak Patimapragorn dan menaikkan Jen Chatcai Sarikanya, yang sebelum ini merupakan Menteri Pertanian dan Koperasi menjadi timbalan perdana menteri.

Prayut mengekalkan Jen Prawit Wongsuwan, Somkid Jatusripitak, Ketua Marsyal Udara Prajin Juntong and Wissanu Krea-ngam sebagai timbalan perdana menteri.

Prawit akan meneruskan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan sementara Prajin diberikan tanggungjawab tambahan selaku Menteri Kehakiman.

Dalam barisan kabinet baharu ini, Thailand akan mempunyai lima timbalan perdana menteri berbanding enam sebelum ini.

Perdana Menteri juga menggantikan Menteri Perdagangan Apiradi Tantraphon dengan timbalannya Sonthirat Sonthirawong sementara menggugurkan Timbalan Menteri Pertahanan Jen Udomdej Sitabutr dalam barisan kabinet baharu itu.

Jawatan Udomdel itu akan diambil alih oleh Jen Charnchai Kangmongkol.

Prayut tidak membuat sebarang perubahan pada portfolio kewangan, pengangkutan dan hubungan luar.

-- BERNAMA