BANGKOK: Thailand bakal menjadi tuan rumah "Minggu Kesihatan APEC" mulai Isnin, (22 Ogos), sebuah platform bagi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk bergabung tenaga mencapai keseimbangan kesihatan dan ekonomi awam dalam usaha ke arah pemulihan ekonomi yang mampan dan inklusif.

Menteri kesihatan dari 21 ekonomi APEC akan menghadiri mesyuarat yang dijadual berakhir 26 Ogos.

Timbalan Ketua Setiausaha Perdana Menteri dan pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Thailand menjadi tuan rumah Mesyuarat Peringkat Tinggi Kesihatan dan Ekonomi (HLMHE) ke-12 bertemakan "Open to Partnership. Connect with the World. Balance Health and the Economy".

Acara itu memberi peluang buat Thailand mempamerkan kapasiti perubatan dan kesihatan awam.

Anucha berkata Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Prayuth Chan o-cha yakin dengan keupayaan Thailand untuk menganjurkan pelbagai mesyuarat dan acara di bawah kerangka kerja APEC, termasuk "Minggu Kesihatan APEC".

Prayuth turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi berkaitan atas sokongan yang diberikan dan menganjurkan pelbagai mesyuarat di bawah kerangka kerja APEC.

-- BERNAMA