BANGKOK: Thailand sedang meneroka kemungkinan menganjurkan perlumbaan Formula Satu (F1) pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan ekonomi dan sektor pelancongan negara itu.

Jurucakap kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap, berkata Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra menyatakan kesediaan kerajaan untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi membuat persiapan untuk penganjuran acara itu.

Perdana Menteri menekankan kepentingan untuk melibatkan orang ramai dalam meningkatkan kesedaran mengenai manfaat penganjuran perlumbaan F1 serta menarik lebih banyak minat terhadap sukan itu.

"Perdana Menteri menyatakan bahawa penganjuran acara sukan bertaraf dunia seperti F1 bukan sahaja akan memperlihatkan keupayaan Thailand dalam menganjurkan acara antarabangsa tetapi juga memberi lonjakan ketara kepada ekonomi dan pelancongan negara," kata Jirayu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menambah bahawa Paetongtarn turut menekankan keperluan untuk menjalankan kajian menyeluruh, termasuk mengenal pasti lokasi litar perlumbaan yang sesuai, menilai pelaburan berkaitan serta mempertimbangkan keseluruhan daya maju penganjuran acara itu.

Terdahulu, Paetongtarn bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan, Suriya Juangroongruangkit, serta Menteri Pelancongan dan Sukan, Sorawong Thienthong, menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Formula One Group, Stefano Domenicali, di Rumah Kerajaan Thailand.

Menurut Jirayu dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dalam memanfaatkan potensi F1 bagi mempromosikan pelancongan dan budaya tempatan di Thailand.

Domenicali mengakui bahawa penganjuran perlumbaan F1 di Thailand menawarkan pelbagai peluang dan kelebihan, terutamanya dalam aspek pembangunan ekonomi dan pelancongan.

"Domenicali menyatakan bahawa F1 berupaya merancakkan sektor pelancongan dengan menggalakkan pelawat untuk melanjutkan tempoh lawatan mereka, meneroka keunikan budaya Thailand, serta menghargai infrastruktur dan sokongan masyarakat di negara ini," jelas Jirayu.

Domenicali turut memberi jaminan bahawa Formula One Group akan bekerjasama rapat dengan kerajaan Thailand bagi menilai daya maju inisiatif itu dan menyampaikan pengalaman luar biasa untuk peminat sukan permotoran di seluruh dunia.

-- BERNAMA