Menjangkakan keganasan akan berlaku semasa perhimpunan antikerajaan di Bangkok Sabtu ini, kerajaan Thailand akan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di sesetengah kawasan di ibu negara itu selama sembilan hari mulai hari ini.

Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Warathep Rattanakorn berkata ISA akan dikenakan di daerah Pranakorn, Dusit dan Pomprabsattrupai yang hampir dengan Royal Plaza, venue perhimpunan.

"Majlis Keselamatan Negara telah memaklumkan kepada Perdana Menteri (Yingluck Shinawatra) yang mereka mendapat maklumat bahawa keganasan mungkin berlaku semasa perhimpunan," katanya.

Pelaksanaan ISA antara lain bertujuan mengerakkan tentera dalam membantu polis mengawal keselamatan di kawasan berkenaan.

Pitak Siam merancang mengadakan rali bagi mendesak kerajaan meletak jawatan dan polis merancang menggerakkan 50,000 anggota bagi mengawal keadaan semasa perhimpunan.

Kumpulan antikerajaan mengadakan rali pertama pada 28 Okt lalu yang disertai ramai penunjuk perasaan.

Kumpulan ini yang diketuai Jen Boonlert Kaewprasit mendakwa 20,000 orang menyertai perhimpunan namun pihak polis menganggar ia disertai hanya sekitar 7,000 orang.