Terpisah dengan pemilik, ribuan kucing di Wuhan diancam kebuluran

Agensi
Februari 9, 2020 11:03 MYT
Sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di Wuhan susulan novel koronavirus menyebabkan ribuan haiwan peliharaan terpisah dengan tuannya. - Gambar Wuhan Pet Life Online.
Sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di Wuhan susulan wabak koronavirus menyebabkan ribuan haiwan peliharaan terpisah dengan tuannya.
Keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan terabai, kelaparan dan trauma.
Terpanggil dengan situasi yang menyayat hati ini, beberapa kumpulan pencinta haiwan tampil menghulurkan bantuan.
Seorang doktor haiwan yang bekerja di Wuhan memberitahu kumpulannya telah berjaya menyelamatkan lebih 2,000 haiwan peliharaan di situ sejak 23 Januari lalu.
"Haiwan-haiwan peliharaan itu ditemukan di rumah tanpa sebarang makanan dan minuman.
"Pemilik haiwan berkenaan meninggalkan rumah mereka bulan lalu dan tidak menyangka mereka tidak boleh pulang.
"Situasi itu menyebabkan haiwan peliharaan mereka mati akibat kebuluran dan dahaga," katanya yang dipetik daripada laporan inkstonenews pada Ahad.
Sementara itu, Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan mula mengambil permintaan bagi membantu haiwan peliharaan yang terperangkap selama dua hari selepas sekatan tersebut dikuat kuasa.
Presiden persatuan, Du Fan berkata seramai 60 sukarelawan telah menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan dari lebih 500 kediaman.
"Sebenarnya ada beberapa tragedi yang berlaku terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini seperti mati sebelum kami tiba," katanya.
Menurutnya, dengan kira-kira 300,000 hingga 600,000 penduduk di Wuhan mempunyai haiwan peliharaan, agak sukar untuk mereka memenuhi permintaan yang memuncak sekarang ini.
"Kebanyakan yang minta bantuan kami adalah golongan migran yang bekerja di Wuhan dan tinggal di kejiranan kecil di sini.
"Mereka tidak mempunyai kawan-kawan atau ahli keluarga di Wuhan untuk membantu menguruskan haiwan peliharaan masing-masing," katanya lagi.
Dalam pada itu, terdapat beberapa sukarelawan menempatkan haiwan-haiwan peliharaan yang diselamatkan di rumah mereka dan ada juga yang mengekalkan di rumah pemilik.
Bagi haiwan yang disimpan di rumah asal, para sukarelawan akan datang secara berkala untuk memberi makanan dan minuman.
Jelas doktor haiwan di Wuhan Pet Life Online, kebanyakan haiwan peliharaan kelihatan trauma dan takut kepada manusia ketika mereka cuba menyelamatkan manakala keadaan rumah sangat bersepah.
"Terdapat lebih 100 ekor haiwan peliharaan di rumah saya sekarang. Untuk makluman, ada beberapa rumah yang menggunakan kata laluan dan ada juga yang menggunakan kunci biasa.
"Bagi kes kecemasan, kami terpaksa masuk ke rumah dengan memecahkan pintu depan atau memanjat tingkap," katanya.
#doktor haiwan #haiwan peliharaan #kelaparan #koronavirus #lockdown #migran #pencinta haiwan #Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan #sukarelawan #terabai #trauma #Wuhan #Wuhan Pet Life Online
;