Teman wanita suspek yang menyebabkan 59 orang maut termasuk dirinya sendiri dalam satu tembakan rambang di Las Vegas, telah disoal siasat oleh FBI pada Rabu dan berkata bahawa dia tidak menyangka bahawa teman lelakinya ‘merangka keganasan ke atas orang awam'.

Marilou Danley, yang baru pulang dari melawat keluarganya di Filipina pada Selasa telah dilabelkan penyiasat sebagai ‘orang yang dikehendaki’, berkata demikian menerusi peguamnya.

Dia menambah, pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Stephen Paddock itu berlaku tanpa pengetahuannya.

“Dia langsung tidak menunjukkan sebarang perkara yang mencurigakan sebagai petanda bahawa perkara buruk seperti ini bakal berlaku," kata Danley, 62, dalam satu kenyataan bertulis yang dibacakan kepada wartawan oleh peguamnya.

Tambahnya, Paddock adalah seorang yang baik, penyayang, dan pendiam.

"Saya sangat sayangkannya dan mengharapkan masa depan yang tenang bersamanya," kata Danley. “Saya langsung tidak pernah tahu apa-apa tentang rancangan keganasannya terhadap orang lain.”

Peguamnya, Matt Lombard, berkata Danley memberikan sepenuh kerjasama terhadap penyiasatan tersebut
.
Danley yang berwarganegara Australia berketurunan Filipina berkata, dia mengambil penerbangan ke Amerika Syarikat secara sukarela kerana mengetahui pihak FBI dan polis Las Vegas pasti mahu menyoal siasat dirinya, malah dia juga mahu berkongsi maklumat yang ada.

58 orang maut dan lebih 500 cedera apabila Paddock, 64, melancarkan tembakan rambang ke arah konsert pada malam Ahad dari tingkat 32 Hotel Mandalay Bay di Las Vegas Strip.

Paddock kemudian membunuh diri sebelum pihak polis menyerbu ke biliknya, lantas menjadikan jumlah angka kematian sebanyak 59 orang.

Polis seterusnya menemui sebanyak 23 senjata api dengan sebahagian daripadanya dipasang mekanisme yang membolehkan tembakan dibuat menyamai senjata api automatik.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump membuat lawatan ke Las Vegas pada Rabu lepas, menandakan kali pertama beliau perlu berdepan insiden seumpamanya sejak menyandang jawatan nombor satu itu.