Kerajaan tekad untuk memperkukuhkan pembangunan Komuniti ASEAN yang ditubuhkan pemimpin negara berkenaan pada November lepas di ibu negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, penubuhan komuniti itu hanyalah permulaan kepada proses pembangunan selain integrasi serantau negara yang terlibat.

"Hari ini mencatatkan satu lagi pencapaian penting dalam lipatan sejarah ASEAN kerana ia merupakan hari penubuhan secara rasmi Komuniti ASEAN. Komuniti ASEAN ini telah dilancarkan oleh para Pemimpin ASEAN semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada 22 November 2015 di Kuala Lumpur.

"Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, kita dengan sokongan dan kerjasama padu daripada Negara-Negara Anggota ASEAN yang lain telah berjaya menyempurnakan dua keberhasilan utamanya, iaitu untuk menubuhkan Komuniti ASEAN; dan untuk memuktamadkan Visi Komuniti ASEAN Pasca-2015 – ASEAN 2025: Bersama Maju ke Hadapan – yang melakarkan perjalanan ASEAN untuk tonggak-tonggak komuniti politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya bagi 10 tahun akan datang.

"Oleh yang demikian kita amat berbesar hati atas kejayaan memikul tanggungjawabnya sebagai Pengerusi ASEAN, pada masa ASEAN memulakan era barunya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, negara tetap komited untuk melaksanakan agenda ke arah pembentukan komuniti ASEAN.

Najib turut bertegas akan memastikan cadangan termasuk pengenalan kad perjalanan perniagaan ASEAN dan laluan khas ASEAN di lapangan terbang dapat direalisasikan.

Dalam pada itu jelas Anifah, negara juga sedar bahawa penubuhan Komuniti ASEAN tidak bermakna bahawa proses pembangunan komuniti ini telah selesai.

"Malah, ini hanyalah permulaan. Kesedaran mendalam mengenai Komuniti ASEAN dan penglibatan warga ASEAN dalam proses pembangunan komuniti ini adalah amat penting bagi menjayakan penubuhan Komuniti ASEAN.

"Kita sangat mengalu-alukan penubuhan Komuniti ASEAN ini dan menyatakan sekali lagi sokongan padunya untuk memperkukuhkan proses pembangunan komuniti dan integrasi serantau serta untuk melaksanakan komitmen yang telah dinyatakan dalam dokumen ASEAN 2025: Bersama Maju ke Hadapan," ujarnya.

Penubuhan rasmi Komuniti ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-27 November lepas bakal mewujudkan satu pasaran tunggal dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara.

Komuniti ASEAN yang menghubungkan 633 juta rakyat di 10 negara itu akan memberi fokus kepada kerjasama lebih erat antara kerajaan dan rakyatnya dengan penekanan kepada tiga tonggak utama, iaitu kerjasama politik dan keselamatan, ekonomi serta sosiobudaya.