HAIKOU: Taufan Trami meragut tujuh nyawa dan menyebabkan seorang lagi hilang di wilayah kepulauan Hainan, selatan China, menurut pihak berkuasa pengurusan kecemasan wilayah pada Rabu, lapor Xinhua.

Trami, taufan ke-20 tahun ini, membawa hujan lebat ke banyak kawasan di Hainan sejak 28 Okt, memaksa lebih 40,000 orang dipindahkan.

Kementerian Sumber Air pada Rabu mengeluarkan tindak balas kecemasan Tahap-IV terhadap banjir berikutan kesan berterusan Taufan Trami di Hainan. Qionghai, antara kawasan yang paling terjejas, berada pada tahap tertinggi tindak balas kecemasan untuk banjir dan kawalan angin sejak lewat Selasa.

Disebabkan oleh Taufan Trami, kebanyakan kawasan di Hainan dijangka mengalami hujan lebat pada Rabu, dengan risiko tinggi banjir kilat, dan Sungai Wanquan mungkin mengalami banjir yang melebihi paras amaran.

Kementerian menggerakkan kumpulan kerja ke barisan hadapan untuk membimbing tindak balas banjir, dengan tumpuan kepada pemindahan penduduk dari kawasan berisiko tinggi.

China mempunyai sistem tindak balas kecemasan empat peringkat, dengan Tahap I sebagai tahap yang paling teruk.

-- BERNAMA