Agensi penarafan itu memberi amaran langkah berkenaan meningkatkan ketidaktentuan ekonomi.
"China menghadapi siasatan perdagangan AS, dan kami menjangkakan tarif AS ke atas import China akan terus meningkat tahun ini, selaras engan kenyataan Presiden Trump yang menyifatkan kenaikan 10 peratus sebagai 'pukulan pembuka' serta fokus beliau untuk mengurangkan defisit perdagangan AS," menurut laporan itu.
"Masih tidak jelas hasil rundingan AS-Mexico dan AS-Kanada, sejauh mana AS bersedia untuk menyemak semula cadangannya, serta bagaimana usaha meredakan ketegangan dengan China akan berkembang (tarif balas China yang lebih terhad dijangka berkuat kuasa pada 10 Februari)," menurut laporan itu lagi.
Fitch menegaskan, dasar perdagangan Trump menimbulkan risiko ketara terhadap ramalan makroekonomi agensi itu bagi ketiga-tiga negara terbabit.
Peningkatan tarif AS secara keseluruhan dijangka menghasilkan tambahan cukai import bernilai US$350 bilion, yang boleh mengakibatkan penurunan 0.4 peratus daripada anggaran Fitch berkenaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 serta peningkatan inflasi.
"Walaupun kesan ke atas KDNK lebih besar, kenaikan harga pengguna AS dijangka cukup tinggi untuk memperlahankan lagi pemotongan kadar dasar Rizab Persekutuan (Fed)," menurut Fitch.
Sementara itu, kesan ke atas ekonomi Mexico dan Kanada dijangka lebih ketara memandangkan eksport kedua-dua negara ke AS menyumbang bahagian besar dalam KDNK masing-masing.
Penurunan KDNK berbanding anggaran Fitch adalah 2.3 peratus bagi Mexico dan 1.4 peratus bagi Kanada.
Pada Sabtu, Trump menandatangani perintah eksekutif mengenakan tarif ke atas import dari Mexico, Kanada dan China.
Walaupun AS menangguhkan pelaksanaan tarif ke atas barangan dari Kanada dan Mexico selama 30 hari pada Isnin, tarif 10 peratus ke atas barangan China dijangka diteruskan seperti yang dirancang.
China telah bertindak balas dengan mengenakan tarif 15 peratus ke atas beberapa produk dari AS. - BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)