Robot R2-D2 akan membuat kemunculan dalam ‘kejiranan’ Mickey Mouse sejurus jenama taman tema terbesar tersebut membuka tarikan terbaharunya berkonsepkan perang angkasa tidak lama lagi.

Taman tema Star Wars yang penuh elemen masa depan itu akan dibina berdekatan dengan taman tema sedia ada di Florida dan California.

Ketua Pegawai Eksekutif Disney Bob Iger pada Sabtu berkata, sejak Disney membelanjakan AS$4 bilion (kira-kira RM16 bilion) bagi membeli Lucasfilm tiga tahun lalu, pihaknya mahu membawakan Star Wars di setiap sudut syarikat itu.

“Bukan sahaja di layar perak, malah dalam kehidupan sebenar,” katanya.

taman tema
Salah satu ilustrasi taman tema Star Wars yang bakal direalisasikan Disney. -Foto AFP/Facebook Disney


Tarikan istimewa taman tema itu tentunya pengalaman pertempuran termasuk memberi peluang kepada pengunjung untuk memandu ‘salah sebuah kapal angkasa yang paling dikenali di galaksi’ iaitu Millennium Falcon, dalam sebuah misi rahsia.

“Kami akan membawa para tetamu ke sebuah planet baharu. Semua orang akan berpeluang bertembung dengan semua droid dan makhluk luar biasa,” kata Iger di ekspo D23 2015 yang dipenuhi para peminat dan wartawan.

Pembinaan taman tema Star Wars akan mengambil tempat di Orlando, bersebelahan dengan Disney Hollywood Studios, dan di Anaheim berdekatan Disneyland.

Tapak seluas 14 ekar (5.67 hektar) itu akan mempunyai pekerjanya sendiri manakala pengunjung restoran akan disambut pelbagai makhluk liar dari kisah angkasa itu.

Ekspo D23 yang berlangsung selama tiga hari di pusat konvensyen di Anaheim telah menarik kunjungan peminat Disney dan perwakilan media dari seluruh dunia.

Sementara itu, Taman Tema Disneyland Shanghai akan mula dibuka tahun depan.

taman tema
Pengunjung taman tema ini akan bertembung dengan pelbagai watak popular dan makhluk luar biasa. -Foto AFP/Facebook Disney