TEL AVIV: Syarikat penerbangan Israel El Al menggantung semua penerbangan ke Moscow sehingga akhir Mac 2025 berikutan nahas penerbangan Azerbaijan Airlines menuju ke Grozny Rusia, kata jurucakap El Al kepada RIA Novosti pada Isnin.

"Selepas penilaian menyeluruh mengenai keadaan, syarikat penerbangan El Al memaklumkan mengenai penggantungan penerbangan dari Tel Aviv ke Moscow sehingga akhir musim sejuk (akhir Mac). Keputusan itu diambil selepas berunding dengan pihak berkuasa negara itu [Israel] untuk mendapatkan gambaran penuh tentang situasi itu," kata jurucakap berkenaan.

Penumpang akan dimaklumkan tentang perubahan dalam masa terdekat, tambah jurucakap itu.

Pesawat Azerbaijan Airlines Embraer 190 yang terbang dari Baku ke Grozny Rusia terhempas pada pagi 25 Dis berhampiran bandar Aktau di barat Kazakhstan. Syarikat penerbangan itu berkata 62 penumpang dan lima anak kapal berada di dalam pesawat. Kementerian kecemasan Kazakhstan berkata 29 orang terselamat dalam nahas itu.

Pada Jumaat, ketua Agensi Pengangkutan Udara Persekutuan Rusia (Rosaviatsiya), Dmitry Yadrov, berkata keadaan di ruang udara Rusia sukar pada hari nahas itu, kerana dron tempur Ukraine melancarkan serangan ke atas infrastruktur awam di bandar Grozny dan Vladikavkaz. Sekatan ruang udara telah dilaksanakan di sekitar lapangan terbang antarabangsa Grozny. Selain itu, kabus tebal melanda Grozny, tanpa penglihatan pada ketinggian 1,640 kaki.

Pesawat yang terjejas itu ditawarkan untuk mendarat di lapangan terbang lain tetapi meneruskan ke Aktau, kata Yadrov.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkata pada Ahad bahawa pesawat itu tidak sengaja ditembak jatuh di ruang udara Rusia, sambil menambah bahawa kebenaran mengenai nahas itu akan diketahui setelah kotak hitam dibuka. Pada masa yang sama, Aliyev berkata bahawa badan pesawat itu (fiuslaj) mempunyai lubang, yang secara langsung menolak versi pesawat berlanggar dengan kawanan burung. Aliyev juga berkata Rusia harus menghukum mereka yang bertanggungjawab atas nahas itu dan membayar pampasan kepada kerajaan Azerbaijan, mangsa dan kru pesawat berkenaan.

-- BERNAMA