Kementerian Luar telah menerima maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, mengenai kemungkinan seorang warga Malaysia terbunuh ekoran bencana banjir tersebut.

Mangsa, Fan Swee Leong ditemui di dalam kereta miliknya pada rabu setelah banjir surut.

Maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Australia menyatakan pihak polis Gatton telah menemui mayat seorang lelaki dalam sebuah kenderaan yang didaftarkan di bawah nama Swee Leong.

Ini telah membawa pihak polis ke kediamannya di mana mereka telah menemui pasport milik Swee Leong.

Namun begitu, proses selanjutnya perlu dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa.

Dalam pada itu pihak kementerian telah memakluman perkembangan berkenaan kepada waris mangsa dan pihak suruhanjaya tinggi akan menghulurkan bantuan sewajarnya.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra juga akan terus memantau keadaan banjir terutamanya berhubung keselamatan rakyat dan pelajar-pelajar Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas.