POLIS Ukraine menahan seorang lelaki yang dipercayai mahu membunuh ketua pegawai forensik yang menjalankan siasatan mengenai nahas pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh.

Saintis forensik kanan Ukraine, Oleksandr Ruvin telah ditembak pada tahun lalu dan pihak berkuasa percaya tembakan itu adalah berkaitan dengan peranannya dalam siasatan, lapor media antarabangsa.

Dalam satu kenyataan, pejabat pendakwaraya Ukraine berkata akan mengadakan majlis taklimat hari ini berkenaan penangkapan suspek tersebut.

Ruvin telah ditembak di kaki namun sudah pulih selepas menerima rawatan di hospital.


BACA: Malaysia komited pastikan dalang tembak jatuh MH17 dibawa ke muka pengadilan

BACA: Malaysia tetap mahu pihak yang menembak jatuh MH17 dihadap ke ICJ

Dalam nahas pada Julai 2014 itu, pesawat MH17 ditembak jatuh ketika terbang pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan bergolak Ukraine berhampiran sempadan Rusia.

Sebanyak 298 mangsa terkorban dalam tragedi itu, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Negara-negara Barat dan Ukraine berkata peluru berpandu dilancarkan dari wilayah yang dicengkam pejuang pemisah pro-Rusia, namun Moscow menafikan dakwaan itu dengan menuding jari kepada tentera Ukraine.

Belanda telah menjalankan siasatan jenayah mengenai pihak yang bertanggungjawab atas kejadian tersebut, namun banyak pihak lain yang mencurigai usaha itu akan berjaya.

BACA: Penyiasat Belanda kaji tuntutan wartawan dalam siasatan MH17

BACA: Memorial peringatan akan dibina di Belanda buat mangsa nahas MH17

BACA: Lelaki ditangkap cuba jual cebisan nahas pesawat MH17 sebagai cenderamata