MOSCOW: Rishi Sunak mungkin menjadi perdana menteri Britain pertama dalam sedekad tidak hadir perbahasan peringkat tinggi tahunan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), kerana beliau mempertimbangkan untuk memberi tumpuan kepada agenda dalaman, lapor Sputnik.

Pemimpin dunia akan berkumpul di New York untuk pembukaan tahunan UNGA pada September. Sunak masih belum mengesahkan kehadirannya secara rasmi.

"Semuanya bergantung kepada beberapa perkara yang Rishi lakukan. Belum ada keputusan yang sahih," kata sumber yang biasa dengan rancangan PBB kepada The Telegraph pada Khamis.

Sunak sedang mempertimbangkan untuk tidak membuat lawatan ke AS untuk mempersiapkan persidangan tahunan Parti Konservatif pada Oktober, yang dianggap penting untuk merancang visi perdana menteri bagi pilihan raya 2024, kata akhbar tersebut.

Selain itu, jadual Sunak pada September sudah cukup padat, termasuk lawatan ke India untuk sidang kemuncak G20 dan rombakan Kabinet yang dijangka pada musim luruh, menurut laporan itu.

Perdana menteri Britain terakhir yang tidak menghadiri Perhimpunan Agung PBB pada September ialah David Cameron pada 2013.

-- BERNAMA