Saluran berita 24 jam Perancis, BFM TV, meminta maaf kerana memainkan lagu I Shot the Sheriff selepas polis menembak mati Cherif Chekkat, iaitu suspek di sebalik serangan di sebuah pasar Krismas di Strasbourg hingga mengorbankan empat orang.

Chekkat, 29, bersembunyi selama dua hari selepas serangan itu sebelum pihak polis berjaya menjejakinya di kejiranan Neudorf pada Khamis. Dia telah ditembak mati selepas melepaskan tembakan kepada tiga pegawai polis.

Ketika saluran berita itu menayangkan program khas untuk melaporkan kematian Chekkat, termasuk menunjukkan suasana di kawasan kejadian, lagu hit reggae dendangan Bob Marley itu dimainkan.


Kejanggalan pemilihan lagu itu membuatkan penonton marah, namun pihak stesen penyiaran itu memohon maaf pada Jumaat sambil menyatakan ia terjadi atas kesilapan manusia.

"Pasukan teknikal kami yang menjaga audio mengenal pasti ia dimainkan semasa laporan berita serius ini. Ia satu kesilapan manusia," ujar BFM dalam satu kenyataan.


Permohonan maaf itu bagaimanapun tidak dapat meredakan kemarahan di media sosial.

"BFM siarkan I Shot The Sheriff secara langsung. Mereka tidak sepatutnya berbuat demikian," ujar salah seorang yang meninggalkan komen.

Seorang lagi pengguna Twitter berkata: "Saya tidak pasti lagu Bob Marley adalah pilihan terbaik untuk laporan BFM malam ini."