TAIPEI: Dua kumpulan sos Worcestershire yang diimport dari Amerika Syarikat dipintas di sempadan pada akhir Ogos kerana mengandungi sisa racun perosak yang bersifat karsinogenik, lapor Agensi Berita Pusat (CNA) memetik kenyataan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Taiwan (TFDA) pada Selasa.

Menurut agensi itu, sebanyak 1,332 kilogram sos Lea and Perrins yang diimport oleh Taiwan Hsin Lin Enterprise Co yang berpangkalan di Taipei, dikembalikan atau dimusnahkan di sempadan selepas ujian mengesan kehadiran etilena oksida, dengan beberapa sampel mengandungi 0.5 miligram setiap kg manakala yang lain mengandungi 0.6 mg/kg.

Daripada 334 kumpulan sos AS yang diperiksa di sempadan dari 22 Mac hingga 23 Sept, sebanyak 15 penghantaran atau 4.5 peratus didapati tidak memenuhi piawaian, menurut data TFDA.

Kebanyakan produk bermasalah tersebut diuji positif mengandungi etilena oksida atau mempunyai tahap sulfur dioksida yang berlebihan.

Sehubungan itu, TFDA akan meneruskan pemeriksaan setiap kumpulan sos yang diimport dari AS sehingga 11 Feb, kata Timbalan Ketua Pengarah TFDA, Lin Chin-fu.

Maklumat di laman sesawang rasmi Kementerian Alam Sekitar menyatakan bahawa etilena oksida diklasifikasikan sebagai bahan kimia beracun yang berbahaya jika ditelan atau dihidu, boleh menyebabkan kerengsaan kulit dan mata yang teruk, kanser, kecacatan genetik, dan berpotensi membahayakan kesuburan atau janin.

-- BERNAMA