KUALA LUMPUR: Situasi kebuluran di Palestin ketika ini terus meruncing dengan bantuan makanan yang berjaya masuk terlalu sedikit berbanding kuantiti yang diperlukan.

Presiden MERCY Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata kumpulan yang paling terjejas ialah kanak-kanak dan warga emas.

“Di Gaza ketika situasi bekalan makanan sangat menyedihkan. Orang dewasa mungkin boleh mencari kaedah sendiri untuk kelangsungan hidup, tetapi kita lihat kanak-kanak dan orang tua sangat menyayat hati.

"Mereka tidak minta banyak, hanya sedikit roti dan seteguk air. Hatta itu pun susah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.


Situasi kebuluran di Palestin runcing, menyayat hati - Presiden MERCY Malaysia

Menurut Faizal, ketika ini beberapa trak yang menghantar bantuan makanan berjaya masuk ke Gaza.

Namun, situasi orang ramai menyerbu trak terbabit telah menyukarkan usaha menyampaikan makanan kepada lebih ramai penduduk Palestin.

“Kita dapat laporan setiap hari bahawa ada trak yang menyediakan makanan berjaya masuk dengan penyelarasan bersama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Koordinator Aktiviti Pentadbiran Wilayah Diduduki (COGAT).

“Tetapi disebabkan keadaan kebuluran yang sangat teruk, berlaku perebutan ketika trak-trak ini mengedarkan makanan. Ini sangat sedih. Apabila situasi itu berlaku, maka terjadi juga insiden makanan jatuh, tumpah, barangan koyak dan sebagainya.

“Selain daripada itu, beberapa kali dalam dua minggu lepas tentera tanpa segan-silu melepaskan tembakan kearah rakyat Palestin yang berkumpul di sekeliling trak bantuan makanan,” ujarnya.



Agenda AWANI: Zionis menggila di Rafah, krisis kemanusiaan semakin parah