Singapura meningkatkan langkah dalam usaha melindungi warga emas memandangkan kumpulan itu berhadapan dengan risiko tinggi dijangkiti wabak COVID-19.

Menteri Kesihatannya Gan Kim Yong berkata hampir 80 peratus daripada kematian dilaporkan akibat COVID-19 di peringkat global membabitkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas, dan trend sama dapat dilihat di Singapura.

"Kadar kematian akibat COVID-19 di Singapura adalah rendah, tapi sebahagian besar kematian adalah dalam kalangan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas," katanya pada sidang media maya pada Jumaat.

"Kematian akibat COVID-19 membabitkan warga emas adalah 95 peratus di sini. Hampir satu daripada enam warga emas mengalami gejala teruk dan memerlukan rawatan intensif di hospital. Oleh itu, sangat penting untuk kita mengambil langkah tambahan bagi melindungi warga emas," tambahnya.

Sehingga kini, Singapura mencatatkan 20 kematian akibat COVID-19, sejak dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac lepas.

Gan yang juga pengerusi bersama Pasukan Petugas Pelbagai Kementerian mengenai COVID-19 berkata walaupun berhati-hati dalam melonggarkan beberapa langkah tegas sebelum ini bagi memutuskan rantaian jangkitan, langkah penjagaan yang perlu, tetap dilaksanakan bagi melindungi kumpulan berisiko seperti warga emas.

"Setakat ini, belum ada penularan COVID-19 di rumah-rumah penjagaan warga emas di sini, tapi kita tidak boleh ambil mudah perkara ini," katanya.

Gan berkata sejak Januari, Kementerian Kesihatan dan Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) bekerjasama rapat dengan pusat jagaan terbabit dalam melaksanakan pelbagai langkah perlindungan.

Beliau berkata sebagai langkah berjaga-jaga, petugas di rumah penjagaan warga emas disediakan kemudahan tempat tinggal di kawasan tertentu atau hotel dalam tempoh pelaksanaan langkah memutuskan rantaian penularan jangkitan penyakit itu.

Menurutnya kira-kira 2,600 petugas rumah penjagaan dalam proses perpindahan ke penempatan di hotel, manakala petugas atau penghuni yang mempunyai gejala jangkitan pernafasan akut serta penghuni baru, diuji sebelum masuk ke rumah berkenaan.

Menteri Kesihatan itu berkata sejak 29 April, ujian saringan dijalankan ke atas semua 9,000 petugas dan 16,000 penghuni daripada 80 rumah penjagaan di Singapura.

Katanya daripada 9,000 petugas di rumah penjagaan yang menjalani ujian saringan, hanya satu kes positif dicatatkan di rumah penjagaan Ren Ci@Ang Mo Kio.

"Kami sedang menjalankan ujian saringan ke atas 16,000 penghuni rumah penjagaan dan dijangka selesai awal Jun ini. Kami menjangkakan lebih banyak kes positif akan dikesan daripada ujian ini," katanya.

Selain daripada rumah penjagaan, Singapura turut memberi perhatian kepada kira-kira 20,000 warga emas daripada keluarga tidak bernasib baik.

Sehingga tengah Jumaat, Singapura mencatatkan sebanyak 21,707 kes positif wabak, dengan 80 peratus daripadanya membabitkan pekerja warga asing yang tinggal di asrama pekerja.

-- BERNAMA