Dikenali sebagai Inisiatif "100k Corals" oleh Lembaga Taman Negara (NParks) Singapura ia dilancarkan pada Selasa dan menerima lebih S$2 juta sokongan setakat ini melalui Garden City Fund.
NParks bekerjasama dengan Makmal Marin Nasional di Pulau St John (SJINML) untuk melaksanakan inisiatif itu.
Terumbu karang itu akan menjalani proses pembenihan di kemudahan kultur karang baharu di Pusat Pendekatan dan Pendidikan dan Taman Marin NParks di Pulau St John, sebelum dipindahkan ke persekitaran marin untuk memulihkan terumbu yang musnah atau mewujudkan terumbu karang baharu.
"Memandangkan kawasan terumbu karang yang terhad di Singapura, program itu juga akan mempertingkatkan usaha pemuliharaan terumbu karang sedia ada oleh NParks untuk meningkatkan ketahanan komuniti terumbu karang dan terumbu di kawasan tempatan," menurut NParks dalam satu kenyataan.
Bagi memulakan inisiatif itu, Program Penyelidikan Batu Karang NParks-Delta diwujudkan, satu projek kerjasama antara NParks dan penyedia penyelesaian kuasa global serta pengurusan haba, Delta Electronics, yang mengintegrasikan teknologi pintar ke dalam usaha pemulihan batu karang.
Sebagai sebahagian program penyelidikan dua tahun ini, NParks akan memanfaatkan kepakaran Delta dalam automasi industri dan bangunan untuk mengoptimumkan pembiakan batu karang berskala besar di pusat pembiakan batu karang.
Sementara itu, sebagai sebahagian Inisiatif 100k Corals, NParks sedang membina fasiliti terumbu karang baharu di Pusat Pendekatan dan Pendidikan Taman Marin di Pulau St John, yang dijangka beroperasi sepenuhnya dan dibuka kepada umum pada suku kedua tahun hadapan.
"Sebagai tapak semaian karang ex-situ, kemudahan kultur karang ini akan menempatkan enam tangki yang boleh menternak sehingga 600 nubbin karang setiap satu," katanya sambil menambah yang pembiakan karang itu akan dijalankan oleh pakar pemulihan karang dan penyelidik dari Universiti Nasional Singapura di SJINML.
-- BERNAMA