MOSCOW: Singapura akan mengimport 1 gigawatt elektrik rendah karbon dari Kemboja tidak lama lagi, yang merupakan import elektrik terbesar negara itu setakat ini, kata Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura pada Khamis.

"Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga (EMA) memberi kelulusan bersyarat kepada Keppel Energy Pte. Ltd. untuk mengimport 1 gigawatt (GW) elektrik dari Kemboja. Ia adalah kelulusan bersyarat pertama import elektrik oleh EMA yang menandakan peristiwa penting dalam usaha Singapura untuk mengimport sehingga 4 GW elektrik rendah karbon menjelang 2035," kata EMA dalam satu kenyataan.

Elektrik yang diimport itu dihasilkan menerusi kaedah rendah karbon, termasuk loji kuasa hidro, solar dan angin dan dipindahkan melalui kabel baharu dasar laut, menurut kenyataan itu.

Singapura adalah antara negara yang bersedia untuk beralih kepada ekonomi hijau. Kenaikan harga tenaga pada 2022 mendorong Singapura untuk menamatkan pergantungannya kepada bahan api fosil, lapor Sputnik.

-- BERNAMA