SINGAPURA: Singapura dan Filipina pada Khamis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama kredit karbon, selaras dengan Artikel 6 Perjanjian Paris bagi menyokong kedua-dua negara mencapai sasaran iklim mereka, sambil mempromosikan kelestarian pembangunan.

Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan di bawah MoU itu, kedua-dua negara akan bekerjasama ke arah Perjanjian Pelaksanaan yang mengikat secara sah mengenai kredit karbon sejajar dengan Artikel 6 Perenggan 2 Perjanjian Paris.

"MoU itu juga membolehkan pertukaran amalan terbaik dan pengetahuan untuk pembangunan pasaran karbon berintegriti tinggi, serta mengenal pasti projek kredit karbon yang mematuhi Artikel 6 dan memberi manfaat bersama," kata MTI.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar Singapura Grace Fu dan Setiausaha Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli Filipina Maria Antonia Yulo-Loyzaga, sempena Lawatan Negara Presiden Tharman Shanmugaratnam ke Filipina.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Shanmugaratnam dan Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr.

Fu yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan berkata MoU itu menandakan komitmen kedua-dua negara untuk memajukan pasaran karbon berintegriti tinggi sebagai pemudah cara untuk tindakan iklim global.

"Sebagai negara anggota ASEAN, Singapura dan Filipina menikmati hubungan rapat dalam beberapa bidang, termasuk perdagangan, pelaburan dan alam sekitar.

"Tahun ini menandakan ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik kami dan kami berbesar hati untuk memperdalam kerjasama dua hala dalam bidang baharu seperti perubahan iklim," katanya.

Singapura telah menandatangani MoU serupa dengan Kemboja, Chile, Republik Dominican, Fiji, Indonesia, Kenya, Laos, Mongolia, Maghribi, Peru, Rwanda, Senegal, dan Sri Lanka. Republik itu juga menandatangani Perjanjian Pelaksanaan dengan Papua New Guinea dan Ghana.

Artikel 6 Perjanjian Paris menetapkan bagaimana negara boleh meneruskan kerjasama sukarela untuk mencapai sasaran iklim mereka. Di bawah Artikel itu, negara boleh memindahkan kredit karbon yang diperoleh daripada pengurangan pelepasan gas rumah hijau untuk membantu satu atau lebih negara memenuhi sasaran iklim mereka.

-- BERNAMA