Singapura catat dua lagi kes jangkitan koronavirus
Agensi
Februari 10, 2020 21:56 MYT
Februari 10, 2020 21:56 MYT
Singapura mengesahkan dua lagi kes jangkitan novel koronavirus pada Isnin sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan di negara tersebut kepada 45 kes.
Menurut Kementerian Kesihatan Singapura, salah seorang mangsa merupakan pekerja di sebuah organisasi Certis Cisco yang ditugaskan untuk menguruskan sistem kuarantin terhadap dua individu yang pulang dari bandar Wuhan, China.
Manakala seorang lagi mangsa merupakan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang juga rakyat negara itu.
Kanak-kanak perempuan itu dikatakan salah seorang daripada warga Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 30 Januari lalu.
Pada masa sama, seorang pesakit juga dilaporkan pulih dan dibenarkan pulang, menjadikan seramai tujuh pesakit di Singapura yang kini telah pulih sepenuhnya.
Sementara itu, dilaporkan seramai tujuh lagi mangsa jangkitan koronavirus yang sedang dalam tempoh kuarantin berada dalam keadaan kritikal.
#China
#coronavirus
#Hospital
#Hubei
#Kanak-kanak
#Kementerian Kesihatan
#mangsa
#novel koronavirus
#Singapura
#Wuhan