SINGAPURA: Singapura telah mencadangkan undang-undang baharu yang akan melarang penerbitan kandungan "deepfake" termasuk bahan audio, visual atau audiovisual mengenai calon semasa tempoh pilihan raya.

Rang Undang-Undang yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin itu mencadangkan larangan penerbitan iklan pilihan raya dalam talian (OEA) yang dijana atau dimanipulasi secara digital, bermula dari pengeluaran Writ Pilihan Raya hingga tamat pengundian pada hari mengundi.

"Larangan ini hanya terpakai kepada OEA yang memaparkan individu yang bertanding sebagai calon dalam pilihan raya," menurut Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) republik itu dalam satu kenyataan.

Rang Undang-Undang Pilihan Raya (Integriti Iklan Dalam Talian) (Pindaan) yang diperkenalkan oleh MDDI itu akan meminda Akta Pilihan Raya Parlimen 1954 (PEA) dan Akta Pilihan Raya Presiden 1991 (PrEA).

OEA merujuk kepada sebarang maklumat atau bahan yang boleh diakses daripada Internet yang secara munasabah boleh dianggap mempromosikan atau meningkatkan kedudukan mana-mana parti politik, calon atau kumpulan calon.

Sebaik sahaja Rang Undang-Undang ini diluluskan, calon boleh membuat permohonan kepada Pegawai Pengurus (RO) untuk menyemak kandungan yang mungkin melanggar larangan dan mengeluarkan arahan pembetulan.

Menjadi kesalahan undang-undang bagi calon yang sengaja membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam permohonan mengenai kandungan yang dipertikaikan, dan boleh didenda atau digugurkan daripada pilihan raya seperti yang dinyatakan di bawah PEA dan PrEA.

Di bawah undang-undang baharu yang dicadangkan, RO boleh mengeluarkan arahan pembetulan kepada individu yang menerbitkan kandungan terbabit, perkhidmatan media sosial, dan Penyedia Perkhidmatan Akses Internet untuk menurunkan kandungan yang menyalahi undang-undang, atau menyekat akses pengguna Singapura kepada kandungan berkenaan semasa tempoh pilihan raya.

Kegagalan mematuhi arahan pembetulan boleh dihukum dengan denda, penjara, atau kedua-duanya.

Perkhidmatan media sosial yang gagal mematuhi boleh didenda sehingga S$1 juta selepas disabitkan kesalahan, manakala pihak lain boleh didenda sehingga S$1,000, dipenjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.

Rang undang-undang ini akan dibentangkan untuk Bacaan Kedua pada sidang Parlimen yang akan datang.

Singapura cadang RUU larang kandungan deepfake

Sementara itu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) akan memperkenalkan Kod Amalan baharu yang memerlukan perkhidmatan media sosial tertentu untuk melaksanakan langkah-langkah bagi menghalang dan membanteras penyalahgunaan kandungan yang dimanipulasi secara digital dalam perkhidmatan mereka.

IMDA akan berunding dengan perkhidmatan media sosial dalam beberapa bulan akan datang untuk merangka butiran Kod berkenaan.

"Rang Undang-Undang dan Kod Amalan yang dicadangkan ini adalah langkah penting untuk mengekalkan integriti proses pilihan raya kami dan melindungi rakyat Singapura daripada kandungan dalam talian yang dimanipulasi," menurut MDDI.

-- BERNAMA