BAKU: Ahli Sains iklim Jerman, Mojib Latif, mempersoalkan kegunaan sidang kemuncak iklim tahunan PBB, yang juga dikenali sebagai Persidangan Pihak-pihak (COP), lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Kita sudah mengadakan 28 sidang kemuncak, tetapi pelepasan gas telah meledak. COP adalah satu pertunjukan yang tidak memberi apa-apa kepada iklim setakat ini," katanya dalam edisi Sabtu akhbar tempatan Jerman, Rheinische Post.

Satu-satunya perkara yang baik, katanya, adalah bahawa negara-negara membangun didengari di sana dan pameran teknologi diadakan.

Profesor Kanan di Pusat Penyelidikan Laut Geomar Helmholtz di Kiel, di bandar utara Jerman itu turut menggambarkan sebagai tidak masuk akal apabila sidang kemuncak iklim diadakan di negara-negara yang bergantung pada minyak atau gas, seperti yang baru-baru ini di Emiriah Arab Bersatu atau sekarang di Azerbaijan.

Beliau berkata: "Negara-negara ini menghalang usaha keluar daripada bahan api fosil, walaupun itu amat diperlukan."

Pada pandangannya, lebih baik daripada menganjurkan sidang kemuncak besar tahunan, negara-negara pengeluar utama gas rumah kaca yang merosakkan iklim berkumpul dalam format yang lebih kecil dan mengambil tindakan.

"China dan AS bersama-sama menyebabkan hampir separuh daripada pelepasan global, manakala negara G20 bersama-sama menyumbang 80 peratus," kata Latif.

Dalam tempoh 30 tahun sejak sidang kemuncak iklim pertama, pelepasan gas rumah kaca memang terus meningkat.

Namun, penyokong sidang kemuncak PBB itu berhujah bahawa tanpa perjanjian antarabangsa mengenai tindakan iklim, peningkatan itu mungkin akan lebih ketara. Sebagai contoh, antara 1990 hingga 2022, pelepasan gas dari 27 negara Kesatuan Eropah (EU) berkurangan sekitar 31 peratus, malah lebih signifikan di Jerman.

-- BERNAMA