Persiapan sedang giat dilakukan ketika pihak berkuasa dari pelbagai sektor berusaha memastikan sambutan lancar bagi pemimpin dan delegasi dari 10 negara anggota ASEAN.
Lebih 20 mesyuarat akan berlangsung di bawah tema "ASEAN: Meningkatkan Kesalinghubungan dan Daya Tahan."
Semua mesyuarat akan diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) dan akan dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan dari negara anggota ASEAN, negara rakan dialog, serta negara rakan luar, termasuk wakil dari organisasi serantau dan antarabangsa.
Setiausaha Kedua (Komersial) dan Naib Konsul Kedutaan Kanada, Christophe A. Rouleau, yang menyelaras untuk delegasi Kanada menyatakan, Laos menunjukkan tahap persediaan yang tinggi dalam menyambut delegasi dan media antarabangsa.
"Saya telah memeriksa pusat media dan NCC di sini. Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat media pada Ahad.
Sementara itu, wartawan Agensi Berita Antara, Ardi Irawan berkata, pendaftaran media untuk sidang kemuncak berjalan lancar dan susunan di pusat media, termasuk bilik solat khusus dan pilihan makanan halal untuk peserta Muslim, diatur dengan baik.
"Kami berpuas hati dengan layanan dan aturan liputan media di Vientiane," katanya.
Bagaimanapun, Ardi berkata, jarak antara pusat media dan NCC menimbulkan cabaran harian bagi pasukannya dalam membuat liputan sidang kemuncak.
Terdahulu, dilaporkan bahawa Kementerian Keselamatan Awam Laos telah menganjurkan sesi latihan dari 10 hingga 15 Sept untuk pegawai polis trafik bagi memastikan keselamatan yang ketat semasa mesyuarat.
Selain itu, Kementerian Pendidikan dan Sukan Laos mengumumkan pada Khamis penutupan sementara 497 sekolah di Vientiane semasa tempoh Sidang Kemuncak ASEAN bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Penutupan ini bertujuan memudahkan perjalanan delegasi antarabangsa dan pegawai-pegawai peringkat tinggi yang menghadiri sidang itu.
Langkah sementara ini adalah sebahagian daripada strategi yang lebih luas untuk memastikan keselamatan semua peserta dan melancarkan pengangkutan sepanjang tempoh sidang kemuncak itu.
Mesyuarat Menteri Luar ASEAN akan secara rasmi memulakan sidang kemuncak pada 8 Okt, manakala majlis pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan akan berlangsung pada 9 Okt.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan kenyataan Malaysia semasa sidang kemuncak itu.
Pada 11 Okt, Laos akan secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia.
Selain menjadi tuan rumah sidang kemuncak ASEAN pada 2024, Laos sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 2004 dan 2016 . - BERNAMA