SINGAPURA: Bertugas sebagai concierge di sebuah firma memerlukan Zainab Ash Shughra Amer bijak berinteraksi dan melayan pelbagai permintaan daripada pelanggan yang datang.

Namun, tamat waktu pejabat, wanita berusia 39 tahun ini akan melangkah ke “dunia bertentangan” yang diselubungi kesuraman dan keinsafan, bertempat di sebuah bilik dengan suhu jauh lebih dingin berbanding kelaziman.

Tidak ada keriuhan menemani beliau dan pembantunya ketika bekerja di dalam bilik ini, kecuali dengungan sebuah mesin.

Di depan mereka, sekujur tubuh bertutup sehelai kain terbaring di atas meja keluli.

Sekali-sekala beliau akan melontarkan ungkapan "maaf" sambil tangannya menyingkap kain itu dan matanya meneliti tajam, melihat tubuh yang kulitnya pucat kekuningan bertukar menjadi kemerah-merahan. 

Pun begitu, beliau tahu  ungkapan “maaf” tersebut tidak akan bersambut kerana hayat empunya jasad yang terbujur  itu sudah berakhir beberapa jam lalu.  

 MUSLIMAH PERINTIS

 “Ya, saya uruskan jenazah, terutama untuk proses awet dan persiapkan jenazah, sama ada untuk diterbangkan pulang ke negara asal atau pengebumian,” ujarnya ketika ditemui Bernama, di sini baru-baru ini.

Berperwatakan ceria, sukar untuk percaya bahawa wanita ini merupakan Muslimah pertama yang menjadi pengawet jenazah - juga satu-satunya buat masa ini - di Singapura.

"Masa kecil dulu saya bercita-cita nak jadi deejay,” katanya sambil ketawa, menjelaskan sikap beliau yang suka berceloteh.

Mengenali beliau menerusi platform TikTok,  penulis mengikuti setiap perkongsian yang beliau muat naik menerusi akaunnya doktermayat7.

Antara yang dikongsikan oleh Zainab, atau Zai seperti yang dipintanya, ialah klip video ketika beliau melaksanakan amanah itu.

Menurut wanita ini, jadual hariannya agak padat sejak bergelar pengawet jenazah bertauliah lebih setahun lalu.

“Khidmat saya diperlukan kerana tidak ada Muslimah lain untuk awet jenazah (wanita Islam). Malah, pada malam raya lalu, saya terima panggilan meminta saya uruskan dua jenazah,” jelasnya, menambah kebanyakan jenazah yang dikendalikan beliau melibatkan pelancong kesihatan dan pekerja domestik dari negara jiran yang perlu dihantar pulang ke negara asal.

“Adakala bukan jenazah lengkap tetapi bahagian anggota tubuh yang diamputasi,” jelasnya yang pernah menguruskan tiga jenazah secara berturut-turut pada satu malam.

JAGA AIB JENAZAH 

 Zainab mengakui, bidang itu menuntut kecekalan hati, empati dan keinsafan yang tinggi, kerana beliau memberikan perkhidmatan kepada jasad yang sudah tidak lagi dapat bersuara menzahirkan rasa sakit atau kurang selesa.

“Daripada perspektif Islam, sepertimana sabda Rasulullah SAW, kita diminta berhati-hati dan berlemah-lembut ketika menguruskan jenazah, kerana setiap sentuhan boleh menyakiti jasad seperti semasa hayatnya.

“Kerana itu jugalah saya melazimkan diri meminta maaf setiap kali melakukan sesuatu ke atas jenazah. Aib mereka juga perlu dijaga dengan memastikan jasad ditutup dengan kain sepanjang masa,” katanya yang menguruskan jenazah umat Islam dan bukan Islam.

Menurut beliau, umumnya pengurus bukan Islam tidak akan menutup jenazah agar mudah bagi mereka melihat aliran larutan formalin yang akan memberikan warna kemerah-merahan pada kulit jasad.

Katanya, rasa “berdosa” kerana bersubahat membiarkan aib jenazah, khususnya umat Islam, terdedah, menjadi antara faktor beliau menceburi bidang itu.  

"Sebenarnya, saya juga seperti majoriti umat Islam (di negara saya) langsung tidak tahu apa-apa tentang embalmer atau pengawet jenazah. Sebelum ini saya sukarelawan mandikan jenazah Muslimah di Ihsan Casket.

“Satu hari, kawan saya yang mempunyai syarikat pengurusan jenazah antarabangsa, mengesyorkan agar saya menjadi pengawet jenazah atas faktor-faktor yang saya sebutkan tadi.

"Pada mulanya saya skeptikal, namun selepas melakukan kajian dan membaca tentang embalming, timbul rasa tanggungjawab untuk berbuat demikian,” kongsinya.

 KE MANILA

Menurut Zainab, perjalanan beliau untuk bergelar pengawet jenazah bertauliah juga tidak mudah kerana di negaranya tidak ada institusi yang menawarkan kursus  dalam bidang itu.

“Di Malaysia juga tidak ada, sementara lesen yang dikeluarkan oleh institusi di Indonesia pula tidak diiktiraf oleh kebanyakan negara, sedangkan antara tujuan saya terlibat dalam bidang ini adalah untuk memudahkan pengurusan jenazah saudara mara jika mereka meninggal di negara asing dan perlu dibawa pulang,” kongsinya lagi.

Beliau akhirnya memutuskan menimba ilmu pengawetan jenazah di Philippine Embalmers and Undertakers Review and Training Center di Manila pada awal 2023, yang menurutnya menawarkan lesen diiktiraf oleh semua negara selain paling dekat dengan Singapura.  

“Saya sebenarnya seorang penakut. Tengok lipas pun boleh terjerit-jerit dan ibu cukup memahami keadaan saya ini.

“Jadi, ibu jugalah orang yang paling bimbang apabila saya suarakan hasrat ingin mempelajari bidang embalming,” kata ibu kepada lima cahaya mata berusia tiga hingga 15 tahun itu sambil ketawa.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana keluarganya memberi sokongan penuh kepadanya untuk meneruskan hasrat yang memerlukan beliau berjauhan dari mereka selama kira-kira enam bulan.

 KEMBALI KE SINGAPURA

Tamat pengajian teori dan praktikal di Manila, Zainab kembali ke Singapura pada Ogos 2023 dan sekali lagi berdepan cabaran untuk mendapatkan tauliah atau kebenaran menjadi pengawet jenazah di negara pulau itu.

Untuk berbuat demikian, beliau perlu menjalani latihan amali dan mengawet sekurang-kurangnya 25 jenazah di pusat pengurusan jenazah tempatan, namun tidak ada yang mahu menerima beliau.

 “Saya hadapi kesukaran untuk menjalani praktikal kerana rata-rata pusat pengurusan jenazah enggan menerima orang Islam. Apabila saya datang ke premis mereka dan nyatakan hasrat untuk lakukan amali, mereka keberatan kerana setahu mereka orang Islam tidak awet jenazah.

“Saya tidak berputus asa dan kemudian pergi ke SFS (Singapore Funeral Services) di Tao Payoh. SFS bukan sahaja terima saya, tetapi turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai Muslimah dalam bidang ini.

“Di situ, saya berjaya lengkapkan syarat dalam tempoh sebulan sahaja dan diberikan tauliah sebagai pengawet jenazah di negara saya,” katanya yang bekerja secara bebas.

BERKONGSI ILMU

Berkongsi lanjut, Zainab berkata bagi meningkatkan kesedaran tentang proses awet jenazah dalam kalangan komuniti Islam di Singapura, beliau berkongsi ilmu di media sosial serta menerusi ceramah di masjid dan sekolah, selain turut diundang oleh stesen radio, penggiat podcast dan lain-lain lagi.

“Tidak semua dapat menerima pekerjaan saya ini, khususnya golongan berusia 70 tahun ke atas yang menyifatkan saya ‘menyeksa’ jenazah.  Mereka malah minta pihak masjid nasihati saya agar tinggalkan pekerjaan itu,” katanya. 

Walaupun kecewa dengan sikap kelompok itu, Zainab berkata, beliau faham awet jenazah merupakan isu tabu dalam kalangan komuniti Islam, khususnya golongan lebih berusia yang masih konservatif.

“Saya kena jelaskan kepada mereka  betapa pentingnya proses awet jenazah ini, terutama bagi yang meninggal dunia di luar negara dan perlu dibawa pulang.

"Negara seperti Korea Selatan, China, Jepun dan Taiwan tidak memperuntukkan tanah kubur untuk warga asing.

“Jika ada sekalipun, tidak semua daerah memiliki tanah wakaf selain perlu diambil kira kos yuran tahunan jika dikuburkan di kawasan bukan tanah wakaf. Justeru, apabila ada kematian warga asing di empat negara ini, pilihan yang diberi sama ada bakar atau awet untuk dibawa pulang ke negara asal, dan di sinilah pentingnya peranan pengawet jenazah Muslim,” jelas beliau.

 ELAK AWET JIKA ADA PILIHAN

Pada masa sama, Zainab menekankan sebaik-baiknya jenazah dikebumikan di tempat individu itu meninggal dunia sekiranya negara berkenaan membenarkan dan ada tanah perkuburan wakaf.

“Harus diingat, proses awet ini memang akan menyakiti jenazah, namun perlu dilakukan kerana itu syarat penerbangan antarabangsa. Kalau kita nak ke luar negara memerlukan pasport, jenazah perlu ada sijil awet sebelum diberikan pelepasan oleh pihak imigresen.

“Pada masa sama, kos awet juga amat tinggi. Contohnya, kos awet untuk dibawa pulang dari Batam, Indonesia ke Singapura mencecah S$6,000,” kongsinya.  

Menurut Zainab, aspek itu antara yang sentiasa ditekankan oleh beliau selain mengajak lebih ramai Muslimah menyertainya.

“Saya akan bercakap secara terus terang tentang proses awet seperti prosedur yang dilakukan, bagaimana kita perlu lakukan torehan, selalunya di leher kerana di bahagian itu lebih mudah untuk cari vena. 

“Selepas itu, kita akan masukkan formalin menerusi vena. Formalin ini berwarna merah jambu, jadi, apabila larutan ini masuk ke dalam jasad menerusi salur darah dan pada masa sama menolak keluar darah, kita akan nampak jenazah yang sebelum itu pucat bertukar kemerah-merahan seperti kita yang masih hidup,” katanya.

Proses itu, katanya, boleh mengambil masa 45 minit hingga lebih satu jam, bergantung pada saiz jasad.

Beliau, bagaimanapun menyangkal bahawa organ dalaman dihancurkan, sebaliknya yang disedut keluar ialah cairan di dalam organ seperti paru-paru, perut, jantung, usus dan lain-lain.

“Kita guna alat yang dipanggil trocar dan memang nampak macam dirodok. Akan tetapi, kita bukan rodok organ. Kita terpaksa tusuk trocar dengan kuat kerana jasad lazimnya sudah mengeras dan memang sukar untuk lakukan proses itu. Kerana itulah saya katakan proses awet ini menyakiti (jenazah),” jelas beliau.

Ditanya sambutan daripada Muslimah lain terhadap kerjaya itu, Zainab berkata, ramai yang menyuarakan hasrat untuk mengikut jejak beliau namun bertukar fikiran selepas mengetahui perkara pertama yang perlu dilakukan.

“Saya beritahu mereka  biasakan diri dengan bau darah terlebih dahulu… ramai yang tidak sanggup. Mereka tidak tahu bahawa selepas kita meninggal dunia jasad kita akan mengeluarkan bau menandakan bermulanya pereputan.

“Ketika proses embalming itu pula bau darah dan bau pereputan sangat kuat dan mereka yang tidak tahan boleh pengsan,” katanya, menambah perkara tersebut berlaku pada rakannya yang terpaksa menarik diri daripada mengikuti kursus praktikal selepas pengsan ketika pertama kali memasuki bilik mayat dan pengurusan jenazah.

CABARAN TERBESAR 

Seperti kelaziman, Zainab juga tidak terkecuali daripada ditanya tentang perkara-perkara seram yang pernah dialaminya semasa bekerja.

“Memang ada (kejadian seram), tapi saya anggap itu hanya ujian. Bagi mengelakkan perkara tidak diingini, saya sentiasa pastikan diri saya dalam keadaan bersih dan berwuduk serta membaca lima ayat pertama surah Al-Mulk sebelum memulakan tugas,” kongsinya.

Bagaimanapun, kata wanita ini, cabaran terbesar beliau bukanlah mendepani insiden seram, sebaliknya emosi diri yang kadangkala menguasai diri.

“Letih emosi dan saya pernah rasa ingin berhenti. Ketika itu saya masih menjalani latihan di Manila,” ujarnya ringkas ketika ditanya perkara yang paling mencabar buat dirinya.

Menurutnya, hati beliau akan turut terkesan apabila mendengar raungan keluarga dan waris di luar bilik mayat.

“Ada masa perlu uruskan jenazah bayi… ini antara perkara yang agak mengganggu. Namun, mengenangkan ini adalah amanah, fardu kifayah, maka saya gagahkan diri tamatkan kursus,” tambah beliau.

Bercerita tentang kes yang masih beliau ingati, Zainab berkata, pengalaman “merinding bulu roma” itu melibatkan jenazah seorang juruterbang yang terkorban selepas pesawat ringan dipandunya terhempas.

“Pengalaman ini di Manila. Pesawat itu jatuh di dalam hutan ketika musim hujan. Pesawat terbakar, jenazah rentung dan terendam di dalam air selama tujuh hari sebelum ditemukan dan dibawa keluar. Jadi, boleh bayangkanlah keadaan mayat dan bau.

“Memang tidak boleh diawet. Namun, si ibu mendesak agar mayat anaknya diawet dan dipersiap seperti jenazah sempurna lain. Saya berada di dalam bilik mayat seorang diri, sedang berlatih mekap jenazah dan boleh dengar suara si ibu bertengkar dengan pengurus pusat di luar.

“Pada masa sama, saya mendengar bunyi ketukan dari keranda keluli yang memuatkan jenazah juruterbang itu. Semakin lama semakin kuat bunyi ketukan.

“Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu. Perlahan-lahan saya letakkan semua alat mekap dan berjalan mengundur keluar dari bilik mayat dengan seluruh tubuh menggigil,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Pada akhirnya, kata Zainab, si ibu mengalah dan bersetuju mayat anaknya dibakar tanpa dipersiapkan seperti kelaziman bagi penganut Kristian.

Bagaimanapun, itu hanya secebis kisah seram yang berlaku ke atasnya.

“Kalau diikutkan, insiden seram di Manila lagi ‘ganas’ berbanding di Singapura yang ala-ala ‘gurauan manja’,” katanya, tertawa.

Ditanya tentang pandangan anak-anak, Zainab berkata, kesemuanya anaknya - tiga lelaki dan dua perempuan - memberi sokongan penuh kepada beliau.

“Malah, saya mahu anak-anak menuruti langkah saya menjadi pengawet jenazah bagi memudahkan urusan keluarga. Kita tak tahu di mana ajal kita dan sebolehnya kita mahu keluarga uruskan sendiri jika ditakdirkan meninggal di luar negara,” ujarnya menutup bicara. - BERNAMA