ANTANANARIVO: Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan mengisytiharkan darurat selepas letupan berlaku di kedai bahan letupan serta kemusnahan besar akibat banjir di negara itu, lapor Xinhua.

"Susulan letupan di kedai bahan letupan CCCL yang menyebabkan kerosakan besar-besaran di kawasan perindustrian Providence dan kawasan persekitarnya, ditambah kemusnahan akibat banjir disebabkan hujan lebat, presiden telah mengisytiharkan darurat untuk hari ini 7 Dis," menurut pejabat presiden dalam satu kenyataan pada Khamis.

"Semua orang diminta duduk di rumah. Semua sekolah ditutup," menurut kenyataan itu.

"Hanya pekerja dalam perkhidmatan penting dan pelancong sahaja dibenarkan untuk bergerak bebas. Ini bagi membolehkan perkhidmatan kecemasan menjalankan tugas penting," katanya.

-- BERNAMA