"Sekiranya konflik ini merebak melangkaui zon perang semasa dan merebak ke Iran, kita mungkin menyaksikan kemusnahan yang lebih besar. Seperti dalam konflik lalu, tindakan balas Israel seolah-olah mengeksploitasi musim pilihan raya AS, dengan menggunakan kempen Parti Republikan dan Demokrat antara satu sama lain.
"Hasil yang membimbangkan ini berpunca daripada dasar yang salah yang diterima pakai oleh pentadbiran Biden selepas peristiwa pada 7 Okt 2023," kata Dr. Steinbock, merujuk kepada ketegangan yang semakin meningkat.
Dr. Steinbock, pengasas perundingan global Difference Group Ltd, yang memberi khidmat nasihat kepada kerajaan, syarikat, dan organisasi di seluruh Barat dan Global South berkongsi pandangannya sebagai respons kepada pertanyaan Bernama mengenai tindak balas Iran terhadap Israel baru-baru ini dan potensinya terhadap geopolitik.
Beliau berkata bahawa tindak balas yang bersesuaian daripada Israel boleh menunjukkan kekuatan tanpa menyebabkan kos ekonomi dan kemanusiaan yang meluas. Namun, peningkatan secara tidak wajar akan menyasarkan bukan sahaja infrastruktur ketenteraan Iran tetapi mungkin juga bertujuan untuk menggugat kestabilan rejim.
"Jika matlamatnya adalah pertukaran rejim, serangan mungkin merangkumi tapak nuklear Iran dan infrastruktur ketenteraan kritikal. Dalam senario ini, Iran akan terpaksa meningkatkan tindak balasnya, yang boleh mendorong rantau ini kepada situasi yang tidak dapat dijangka, dengan kesan yang meluas di seluruh dunia," beliau memberi amaran.
Ketegangan semakin memuncak susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel pada 1 Okt, sebagai tindak balas kepada pembunuhan pemimpin tertinggi Hizbullah, Hamas, dan pegawai Iran.
Israel kemudiannya berikrar untuk bertindak, meningkatkan lagi kebimbangan mengenai konflik serantau yang lebih luas.
-- BERNAMA