Sejarah menangani penularan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) bersendirian tanpa bantuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2003 ekoran krisis geopolitik dengan China menjadi kelebihan kepada Taiwan kali ini untuk lebih yakin berdepan dengan jangkitan COVID-19.

Maka tidak hairanlah jika Taiwan yang mempunyai populasi 24 juta penduduk itu dipuji dunia sebagai antara negara yang berjaya menangani wabak jangkitan pada peringkat awal penyebaran lagi.

Portal Hong Kong Free Press melaporkan, sistem kuarantin warga Taiwan dikawal melalui satu sistem komputer berpusat di mana kedudukan mereka dipantau 24 jam sehari dan mereka yang melanggar peraturan itu akan didenda AS$33,000 (RM143,500).

Berkongsi situasi semasa di Taiwan pada ketika ini, seorang penuntut Malaysia di National Chengchi University (NCCU) Taiwan, Raymond Low berkata, sesi pembelajaran dan pengajaran bagi kuliah yang kurang daripada 50 penuntut masih berjalan seperti biasa di Taiwan.



"Namun demikian, kami mengamalkan penjarakan sosial dengan kedudukan kerusi dalam kuliah diatur dalam jarak satu meter," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Rabu.

Cuma ujarnya, kuliah yang dihadiri lebih daripada 50 pelajar sahaja dikendalikan secara atas talian.

Bagaimanapun katanya, sebagai langkah pencegahan, pengurusan universiti hanya membenarkan kakitangan universiti, penuntut dan pelawat yang mendapat kebenaran khas memasuki kawasan kampus buat masa ini.

"Mereka yang mempunyai urusan penting masih dibenarkan masuk dengan syarat mengemukakan surat permohonan tiga hari lebih awal," jelasnya.

Menurut penuntut tahun tiga jurusan komunikasi itu, universiti terpaksa berbuat demikian selepas salah seorang pelajar Eropah di pusat pengajian itu disahkan positif COVID-19.

Namun begitu katanya, pelajar berkenaan yang baharu pulang dari luar negara itu disahkan positif sebelum sempat mengikuti mana-mana kuliah sejurus itu.

Dalam pada itu kata Raymond Low, aktiviti harian di Taiwan masih berjalan seperti biasa dengan pejabat serta sekolah tetap beroperasi.

"Orang ramai juga dibenarkan keluar namun demikian mereka diwajibkan memakai topeng muka terutamanya ketika menggunakan pengangkutan awam," katanya.

Raymond Low memberitahu, stesen pemeriksaan suhu badan disediakan di semua stesen Transit Aliran Massa (MRT) dan hanya penumpang dengan suhu badan di bawah 37.5 darjah Celsius sahaja dibenarkan masuk.

Jelasnya, mereka yang merekodkan suhu melebihi 37.5 darjah Celsius akan diarah untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik berhampiran dengan segera.