Tentera Amerika Syarikat (AS) didakwa cuba melancarkan serangan ke atas seorang lagi komander Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) di Yaman pada hari sama Leftenan Jeneral Qassem Soleimani dan pemimpin militia, Unit Mobilisasi Popular (PMU), Abu Mahdi Al-Muhandis terkorban di Baghdad pada 3 Januari lalu.

The Washington Post memetik kenyataan pegawai di Washington dan rangkaian berita berpusat di AS melaporkan serangan yang tidak berjaya itu menyasarkan Komander Kanan Pasukan Quds di Sanaa, Abdul Reza Shahlai.

Shahlai seorang pegawai yang bergerak secara aktif membantu tentera Yemen menangkis serangan tentera gabungan Arab.

Sementara itu, New York Times juga mendakwa pentadbiran Presiden AS, Donald Trump turut menawarkan ganjaran AS$15 juta (RM61.15 juta) kepada individu dapat memberikan maklumat tentang Shahlai yang didakwa terlibat dalam rancangan membunuh Duta Arab Saudi ke Washington pada 2011.

BACA: Rakaman kejadian pesawat Ukraine ditembak jatuh Iran tular


Laporan itu didedahkan selepas Dewan Perwakilan mengecam keputusan pentadbiran Trump yang melancarkan serangan ganas ke atas pegawai kanan tentera Iran yang didakwa bertujuan untuk menjatuhkan kepimpinan Pasukan Quds.

Khamis lalu, Dewan Perwakilan AS meluluskan resolusi mengehadkan kuasa Trump daripada mengeluarkan sebarang arahan berhubung tindakan ketenteraan selanjutnya ke atas Teheran. - Agensi