PATTANI: Seorang orang awam maut manakala tiga anggota skuad pemusnah bom cedera dalam dua insiden letupan bom di Sai Buri, Pattani, selatan Thailand pada Jumaat.

Ketua Polis Sai Buri, Pol. Kol.Chalermchai Phetchakat berkata kejadian pertama berlaku pada kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) dengan mangsa seorang lelaki yang dalam perjalanan pergi memancing maut di tempat kejadian.

Menurut saksi letupan berlaku ketika mangsa mengangkat kotak yang diletakkan di tepi jalan.

"Letupan kedua berlaku apabila skuad pemusnah bom sedang membuat pemeriksaan di tempat kejadian, kira-kira 9 pagi (waktu tempatan).

"Tiga anggota skuad pemusnah bom cedera termasuk seorang cedera parah dalam insiden itu. Kesemua mangsa digegaskan ke hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Arahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Bahagian Ke-4, Pol Kol Kiattisak Neewong berkata serangan bom di Sai Buri itu merupakan satu cubaan pihak tidak bertanggungjawab mengeruhkan suasana di selatan Thailand pada Ramadan.

-- BERNAMA