Semua sekolah di Beijing diarah tutup susulan ancaman gelombang kedua COVID-19
Agensi
Jun 17, 2020 09:41 MYT
Jun 17, 2020 09:41 MYT
Susulan kebimbangan kerajaan China berhubung kluster baharu COVID-19 yang dipercayai berpunca dari sebuah pasar di Xinfadi, pihak berkuasa Beijing bertindak menutup semua sekolah serta-merta pada Rabu.
Timbalan Setiausaha Agung kerajaan Chen Bei berkata langkah ketat itu perlu dibuat bagi mencegah penularan wabak meskipun selepas sebulan kerajaan memberi gambaran semakin pulih.
Jelasnya, langkah drastik juga diambil dengan mengenakan sekatan pergerakan terhadap penduduk di zon berisiko tinggi dan sederhana termasuk mengarahkan para peniaga pasar Xinfadi menjalani kuarantin.
Dalam pada itu, pihak berkuasa bandar raya itu pada Selasa turut menguatkuasakan protokol keselamatan di seluruh bandar kepada darurat Tahap 3.
Darurat Tahap 3 menyaksikan proses ujian simptom demam dijalankan ke atas kesemua komuniti yang terlibat dengan sektor pengoperasian negara selain sekatan jalan raya dan pergerakan orang awam di zon berisiko tinggi.
Terdahulu, Beijing pada Isnin menangguhkan pembukaan semula sekolah rendah untuk kelas satu hingga tiga susulan penularan kes baharu COVID-19.
Ia berikutan kebanyakan kes melibatkan rantaian jangkitan dari pasar Xinfadi.
Kebanyakan peniaga dan individu yang mengunjungi premis berkenaan diarahkan menjalani saringan COVID-19.
#Beijing
#Chen Bei
#China
#COVID-19
#Darurat Tahap 3
#jalani kuarantin
#koronavirus
#pasar Xinfadi
#penutupan sekolah
#perintah berkurung
#perintah darurat
#Wuhan