KATHMANDU: Jasad terakhir mangsa tragedi pesawat penumpang Nepal telah ditemui pagi Selasa, menjadikan kesemua 22 mangsa nahas berjaya ditemui, menurut Tentera Nepal.

"Jasad terakhir telah ditemui. Sedang menguruskan untuk membawa 12 jasad terakhir dari lokasi nahas ke Kathmandu," menurut ciapan Brigadier Jeneral Narayan Silwal, jurucakap Tentera Nepal, yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat.

Siasatan awal mendapati keadaan cuaca buruk menyebabkan pesawat Twin Otter itu terhempas di kawasan berbukit di daerah Mustang Nepal, tetapi siasatan penuh tragedi berkenaan akan dilakukan pasukan penyiasat lima anggota, jurucakap Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Deo Chandra Lal Karn memberitahu Xinhua.

Pesawat Hilang | Pesawat bawa 22 penumpang hilang

Pesawat Tara Air hilang pada pagi Ahad sejurus berlepas dari bandar Pokhara, Nepal menuju ke Jomsom di daerah Mustang.

Seramai 19 penumpang, termasuk 13 warga Nepal, empat warga India dan dua warga Jerman berada di dalam penerbangan itu bersama tiga anak kapal.

Tentera Nepal menemui lokasi nahas termasuk 21 mayat pada pagi Isnin dan 10 jasad telah diterbangkan ke Kathmandu pada hari yang sama.

-- BERNAMA