Selesai kuarantin, pakar WHO mulakan siasatan asal-usul COVID-19 di Wuhan
Astro Awani
Januari 28, 2021 05:53 MYT
Januari 28, 2021 05:53 MYT
WUHAN : Kumpulan pakar daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyiasat mengenai asal-usul pandemik COVID-19 akan mengadakan pertemuan dengan para saintis dari China pada Jumaat.
Pada masa sama, mereka juga akan melawat makmal, pasar, dan hospital di Wuhan.
Pasukan pakar itu selesai menjalani kuarantin wajib selama dua minggu di sebuah hotel di Wuhan pada Khamis sebelum meneruskan siasatan.
Kesemua mereka tiba di Wuhan 14 Januari lalu.
Misi WHO itu sebelum ini tergendala susulan masalah mendapatkan akses ke republik itu ekoran perselisihan yang berlaku antara China dan Amerika Syarikat (AS).
AS sebelum ini mendakwa China menyembunyikan kejadian awal pandemik selain mengkritik syarat-syarat lawatan yang dikenakan semasa fasa pertama penyelidikan dilakukan.
"Kumpulan pakar itu bercadang untuk melawat hospital, makmal dan pasar.
"Lawatan tapak pula termasuk di Institut Virologi Wuhan, Pasar Huanan dan makmal Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Wuhan," jelas WHO dalam satu ciapan di akaun Twitter.
Selain itu, pasukan itu juga dijangka akan menemu bual sebahagian daripada pesakit terawal COVID-19 di Wuhan dalam tempoh berbaki dua minggu di China.
Lawatan ke Pasar Huanan pula penting kerana ia dipercayai merupakan lokasi pertama yang menjurus kepada punca jangkitan COVID-19.
Pakar terlibat akan cuba mendapatkan gambaran mengenai kebenaran sama ada pasar berkenaan dijadikan sebagai pusat wabak.
China sebelum ini menolak gesaan untuk menubuhkan siasatan bebas bagi menyiasat asal-usul koronavirus dan menjawab kesemua teori yang mengatakan virus berkenaan dibawa ke China dari luar.
#WHO
#Wuhan
#China
#siasat asal-usul
#COVID-19
#koronavirus
#pandemik
#Institut Virologi Wuhan
#Pasar Huanan
#Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit