Afrika Selatan pada Jumaat mengenang genap setahun pemergian Nelson Mandela, bekas presiden pertamanya pasca era aparteid, dalam satu majlis yang sederhana tetapi penuh emosi.

"Apabila dia pergi, dia berkata, 'Aku tinggalkan kamu dalam damai, dan aku mahu kalian hidup dalam damai,'" kata balu Mandela, Graca Machel kepada sanak saudara dan tetamu kehormat dalam majlis di Pretoria.

"Kedamaian adalah anugerah yang dia wariskan kepada kita," kata Machel sebelum menambah Afrika Selatan masih "berdepan jalan yang panjang untuk mengatasi perpecahan kaum, agama dan jantina."

Sahabat lama Mandela, Ahmed Kathrada berkata pejuang pembebasan itu akan dikenang kerana "kemanusiaan dan keberaniannya.".

BELASUNGKAWA: Mandela (1918-2013)

Ahli keluarga, sahabat handai, anggota jemaah menteri, wanita dan kanak-kanak meletakkan kalungan bunga di kaki patung Mandela di taman yang terletak di halaman Union Buildings disaksikan orang ramai yang hadir.

FOTO-FOTO NELSON MANDELA DALAM KENANGAN

Majlis itu juga bertafakur selama tiga minit selain mendengar ucapan Timbalan Presiden, Cyril Ramaphosa serta upacara doa pelbagai agama.

Majlis seumpamanya juga berlangsung di serata Afrika Selatan.

Mandela meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu. Mendiang tutup usia pada umur 95 tahun.

PEMAKAMAN BAPA PEMBEBASAN AFRIKA SELATAN

Afrika Selatan mengurungnya selama 27 tahun kerana kempen anti-aparteid. Dia juga dikenakan hukuman kerja berat yang kemudiannya menjejaskan kesihatannya.

Selepas bebas dari penjara pada 1990, Mandela menggerakkan penyatuan semula dan memulakan sebuah Afrika Selatan yang baru, tempat warga kulit hitam dan putih hitam sama rata.

Selepas rejim aparteid 46 tahun itu runtuh, Mandela menang pilihan raya bebas negara itu yang pertama pada 1994. Dia jadi presiden selama lima tahun sebelum bersara.