Prospek damai di tiga wilayah bergolak di Selatan Thailand bergerak dalam skala yang perlahan pada tahun 2013 disebabkan pelbagai faktor.

Antaranya termasuk peningkatan semula indeks keganasan yang semakin ketara bermula tahun 2010.

Perangkaan terbaru Deep South Watch, sebuah badan pemantau konflik di selatan Thailad, hampir 5,000 orang termasuk penduduk Islam dan penganut agama Buddha terbunuh manakala 8,300 lagi cedera sejak kekacauan bermula pada 2004.



Bilangan kes keganasan yang direkodkan menurun semasa bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra digulingkan pada 2006, namun meningkat semula pada 2009.

Daripada perangkaan itu, Narathiwat paling banyak mencatatkan kes keganasan iaitu 694 kes diikuti Yala 688 dan Pattani dengan 574 kes.

Sejumlah 69 kes keganasan pula dilaporkan berlaku di Songkhla.



Memburukkan keadaan, gerakan pemisah yang berleluasa menggunakan faktor lain termasuk rasa tidak hormat kepada agama Islam dan kesilapan dasar politik dan ekonomi kerajaan untuk melancarkan penentangan.

“Senjata digunakan sebagai alat untuk menekan kerajaan pusat supaya bersetuju untuk mengerakkan usaha ke arah perdamaian,’’ kata Presiden Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) dalam satu temu bual dengan Astro Awani baru-baru ini.

Kata beliau, pendekatan itu, bukan asing dalam perjuangan mana-mana kumpulan yang mahukan keamanan hakiki.

Mengambil kira kenyataan PULO itu, cabaran kepada pihak berkuasa kini tertumpu kepada usaha menyatupadukan mereka yang diresapi sentimen menentang kerajaan yang memerintah.



Bagi tujuan itu, antara usaha yang dilakukan termasuk menggunakan kalangan individu atau kumpulan yang dihormati seperti Majlis Agama Islam, Imam, Ketua Kampung, Jawatankuasa Pemuda untuk memberi kefahaman tentang perlukan keganasan ditentang.

``Inilah perang yang belum selesai dijalankan tentera di tiga wilayah di selatan Thai ini,’’ kata Komander Pasukan Khas Wilayah Pattani, Mejar Jeneral Tawat Sukplang.

Tambahnya, penyelesaian politik cara terbaik bagi menamatkan konflik berbanding pendekatan ketenteraan termasuk menumpukan kepada pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan, sosial dan pembangunan ekonomi dengan penglibatan penduduk.



Sebelum ini, bekas Menteri Luar Thailand, Surin Pitsuwan pernah menyarankan supaya model perdamaian Gerakan Acheh Merdeka (GAM) pada Ogos 2005 digunakan dalam menyelesaikan pertikaian di selatan Thai.

Namun, selepas selatan Filipina damai pada 2012, ia meniupkan inspirasi supaya Malaysia menjadi orang tengah sekali lagi dalam isu di tiga wilayah ini.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melihat, penduduk di Selatan Thailand akan terus menunggu sinar damai selagi Bangkok ragu-ragu untuk mengembalikan keamanan di situ.

Naratihawat, Pattani dan Yala yang dihuni lebih 1.2 penduduknya beragama Islam sebelum ini wilayah autonomi kesultanan Melayu sebelum diambil Thailand pada 1902.

Nota : Ini sedutan daripada program khas “Resah Damai Selatan” yang akan disiarkan pada 9 malam, 21 Januari.