JAKARTA: Semua jenis infrastruktur pengangkutan, termasuk lapangan terbang, stesen kereta api, terminal bas dan pelabuhan, telah bersedia untuk menampung 110.67 juta orang yang dijangka melakukan perjalanan semasa tempoh cuti Krismas dan Tahun Baharu, kata Menteri Pengangkutan Dudy Purwagandhi.

Dalam satu kenyataan kementerian di sini pada Ahad, Dudy memaklumkan beberapa hari lepas beliau telah melakukan pemeriksaan secara langsung di beberapa terminal pengangkutan utama di Wilayah Banten, Jakarta, dan Jawa Barat, seperti Lapangan Terbang Soekarno-Hatta dan beberapa stesen kereta api, lapor agensi berita ANTARA.

Stesen-stesen yang ditinjau termasuk stesen-stesen kereta api berkelajuan tinggi Jakarta-Bandung Whoosh.

Purwagandhi menjelaskan, secara amnya, infrastruktur pengangkutan dipersiapkan dengan baik untuk melayani sejumlah besar pengembara yang dijangka tertumpu di Pulau Jawa sepanjang tempoh itu.

Menteri itu menggesa semua pihak berkepentingan dalam sektor berkenaan untuk terus memantau keadaan semua mod pengangkutan bagi memastikan keselamatan orang ramai.

"Langkah sedemikian adalah penting untuk mengelakkan kemalangan," katanya.

Beliau juga menekankan pentingnya koordinasi yang intensif antara semua pihak berkepentingan, kerana beliau percaya bahawa Kementerian Pengangkutan tidak dapat bekerja sendirian untuk memastikan musim cuti akhir tahun berjalan dengan lancar.

"Dengan kerjasama antara kita, kita dapat memastikan rakyat menikmati perjalanan yang selamat, selesa, dan lancar," katanya.

Selain itu, menteri juga menarik perhatian terhadap pentingnya membuat persediaan untuk menghadapi kemungkinan cuaca buruk yang boleh mengganggu pergerakan orang ramai sepanjang tempoh berkenaan.

"Penting untuk kita membuat persediaan menghadapi hujan lebat dan kemungkinan berlakunya bencana 'hydrometeorological' sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baharu. Oleh itu, saya berharap semua pihak yang terlibat akan terus bekerjasama dengan BMKG (Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik)," katanya.

--BERNAMA-ANTARA