HARTFORD: Seorang remaja Connecticut, Aleysha Ortiz, memfailkan saman terhadap bekas sekolah menengahnya kerana membenarkannya lulus dengan ‘kepujian’ meskipun dia masih tidak mahir membaca dan menulis.

CNN melaporkan, Ortiz, 19, yang menamatkan pengajian di Hartford Public High School pada Jun lalu dan memperoleh biasiswa universiti, kini menyaman sekolah itu atas dakwaan pengabaian pendidikan yang menyebabkan tekanan emosi.

Menurut Ortiz, beliau hampir buta huruf dan hanya memiliki kemahiran membaca setanding murid darjah satu. Sejak kecil, dia menghadapi kesukaran belajar dan masalah itu berlarutan selepas berpindah ke Amerika Syarikat (AS) dari Puerto Rico pada usia lima tahun.

Dia mendakwa sekolahnya serta guru khas yang ditugaskan kepadanya tidak memberikan bantuan secukupnya. Hanya sebulan sebelum tamat pengajian, pihak sekolah baru menjalankan ujian tambahan dan menyedari dia masih tidak mampu membaca atau menulis dengan baik.

Pihak sekolah dilaporkan telah menawarkan perkhidmatan pembelajaran intensif sekiranya dia menangguhkan penerimaan diploma, namun Ortiz menolak tawaran tersebut.

“Mereka sudah ada 12 tahun untuk membantu saya. Sekarang, ini adalah masa saya,” katanya kepada CNN.

Ortiz, yang bermimpi untuk menjadi seorang penulis, sedang melanjutkan pelajaran sepenuh masa di University of Connecticut, walaupun dia tidak menghadiri kelas sejak 1 Februari lalu kerana mendapatkan rawatan kesihatan mental.

Untuk melengkapkan tugasan kuliahnya, dia bergantung pada aplikasi yang menukarkan teks kepada suara dan suara kepada teks, seperti yang dilakukannya semasa di sekolah menengah.

Ortiz menegaskan bahawa tuntutan saman itu bukan sekadar untuk dirinya, tetapi bagi memastikan pihak sekolah bertanggungjawab serta mengelakkan pelajar lain mengalami nasib serupa.

Keputusan ujian sebelum ini mendapati Ortiz sebenarnya menghidap disleksia dan 'memerlukan pengajaran fonik, kefasihan dan pemahaman membaca yang diajar dengan jelas'. – Sinar Harian memetik agensi