WASHINGTON: Donald Trump mengisytiharkan kemenangannya selepas beliau mendahului keputusan awal Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2024.

Calon Parti Republikan (GOP) menerusi ucapannya di parti kempen di Florida menyifatkan rakyat negara itu bakal menyambut ketibaan 'zaman keemasan baharu'.

Trump memerlukan hanya satu lagi negeri untuk diumumkan secara rasmi sebagai pemenang apabila memperoleh 270 undi pilihan raya yang diperlukan, sekali gus melayakannya kembali semula ke Rumah Putih.

Bilionair hartanah sarat kontroversi itu juga diunjurkan memenangi kawalan majoriti di Dewan Senat.

"Ia adalah kejayaan besar buat rakyat Amerika yang membolehkan kita menjadikan negara ini hebat kembali," katanya di West Palm Beach pada pagi Rabu ketika melaungkan slogan popular beliau, Make America Great Again.

Bilionair, Elon Musk yang merupakan antara pembiaya utama kempen Trump turut berada bersama beliau ketika calon GOP bersama para penyokongnya menanti keputusan kiraan undi yang dilakukan di setiap negeri.

"(Keputusan) ini merupakan sesuatu yang hebat dan luar biasa. Kita (Republikan) mempunyai ribuan kawan dalam gerakan luar biasa ini. Ini adalah gerakan yang tidak pernah dilihat sebelum ini. Terus-terang saya katakan, ini merupakan pergerakan politik terhebat sepanjang zaman," kata Trump. 

"Tidak pernah perkara seperti ini berlaku di negara kita, dan sekarang merupakan tahap penting kerana kita perlu memulihkan Amerika Syarikat. 

"Saya akan memulihkan sempadan negara ini dan kita akan memperbaiki segalanya, kemenangan yang dicatatkan datang dengan tanggungjawabnya tersendiri.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih atas penghormatan terbesar ini kerana memilih saya semula sebagai Presiden yang ke-47," katanya di hadapan ribuan penyokong di Pusat Konvensyen Palm Beach County, Florida, di sini, 

Keputusan awal juga menunjukkan Trump dijangka menyapu bersih di ketujuh-tujuh swing states dan berkemungkinan memenangi undi popular secara keseluruhan yang gagal diraih beliau ketika pemilihan pada 2016.

Rangkaian media tempatan mengunjurkan kemenangan Trump di Pennsylvania, Carolina Utara dan Georgia setelah Trump mendahului kiraan undi di Nevada.

Seperti dijangkakan, Trump menguasai kubu kuat konservatif dari Florida hingga Idaho manakala Harris yang tampil cemerlang sepanjang berkempen menang di negeri liberal dari New York ke California.