Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong telah mengarahkan satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menjalankan siasatan ke atas kejadian rusuhan di Little India, Singapura malam tadi.

Dalam sebuah kenyataan di Facebook Lee hari ini, satu arahan telah dikeluarkan oleh beliau terhadap Jawatankuasa Siasatan Singapura (COI) untuk melihat serta mengenalpasti punca rusuhan tersebut.

"Pihak COI akan meneliti faktor yang menyebabkan insiden tersebut, bagaimana insiden itu ditangani, dan bagaimana kami mengawal kawasan di mana pekerja-pekerja asing itu berkumpul," katanya.

Tegas beliau, insiden tersebut merupakan satu insiden yang terpencil kerana majoriti warga pekerja asing mematuhi undang-undang di Singapura.

Bagaimanapun katanya, kejadian seperti itu tidak boleh dibiarkan menjejaskan persepsi pekerja asing di negara itu serta tidak boleh membiarkan komen kebencian atau xenofobia berlaku, terutamanya di internet.

Dalam pada itu, Lee mengajak rakyatnya bertenang serta meneruskan kehidupan seperti biasa dan terus memberi sokongan kepada pasukan pihak berkuasa Singapura dengan membantu menyalurkan apa-apa maklumat yang diperolehi.

"Kita mesti bersatu dalam menangani insiden malang ini, untuk memelihara Singapura supaya terus aman dan selamat,” tambah Lee.

Sementara itu, Presiden Singapura Tony Tan Keng Yam turut menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi yang berlaku.

Dalam kenyataan di Facebooknya, beliau memesan kepada rakyatnya supaya jangan membiarkan insiden tersebut melemahkan tahap keyakinan masyarakatnya.

Sebaliknya, Tan mengajak mereka untuk terus melipat gandakan usaha dalam mengekalkan Singapura sebagai sebuah negara yang selamat, aman dan kuat.

Tambahnya, dalam insiden tersebut pasukan pihak berkuasa Singapura telah mempertaruhkan keselamatan mereka untuk menegakkan undang-undang yang kadang-kala sering diambil mudah oleh orang ramai.

Semalam, ratusan pekerja warga asing merusuh di Little India, Singapura apabila salah seorang daripada mereka dilanggar oleh sebuah bas dalam satu kemalangan jalan raya.

Perusuh bertindak membakar kenderaan polis dalam keganasan yang disifatkan sebagai yang terburuk sejak 40 tahun, mengakibatkan 18 orang tercedera.

Menurut laporan The Straits Times, individu yang dilanggar itu merupakan seorang lelaki warganegara India yang bekerja di sebuah syarikat bernama Heng Hup Soon.

Kejadian itu telah mengejutkan rakyat Singapura kerana ia merupakan sesuatu kejadian yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.

Lee dalam satu lagi kenyataan pagi tadi telah berkata walau apa pun sebab kejadian itu tercetus, tiada alasan untuk bertindak dengan keganasan melampau yang menyebabkan kerosakan.

Tegas beliau, pihaknya akan berusaha untuk mengenal pasti pesalah dan menggunakan undang-undang sepenuhnya untuk mengambil tindakan ke atas mereka.