MOSCOW: Wilayah Belgorod di Rusia telah mula memindahkan penduduknya ke tempat yang lebih selamat berikutan peningkatan aktiviti ketenteraan berhampiran sempadan Ukraine, kata gabenornya pada Isnin, lapor Xinhua.

"Kami menghadapi pagi yang tegang akibat aktiviti musuh berhampiran sempadan Daerah Krasnoyaruzhsky," kata Gabenor Belgorod, Vyacheslav Gladkov dalam satu video yang dikeluarkan di saluran Telegramnya.

"Saya yakin pihak tentera kita akan melakukan segala yang diperlukan untuk menangani ancaman ini. Namun, untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk kita, kami memulakan pemindahan penduduk yang tinggal di Daerah Krasnoyaruzhsky ke lokasi yang lebih selamat."

Gladkov berkata pemindahan sedang diselaraskan di lokasi dan pengangkutan telah pun dihantar.

Dalam mesej segera berasingan, pentadbiran bandar Belgorod juga menggesa tindakan segera daripada penduduk Daerah Krasnoyaruzhsky.

"Aktiviti musuh telah dikesan di sempadan daerah perbandaran kami. Semua penduduk diminta meninggalkan kediaman mereka dengan segera. Tapak pemindahan telah dikenal pasti," kata pengumuman di saluran Telegram bandar itu.

-- BERNAMA