Bermula 1 Januari 2025, pelancong yang menginap di hotel dan penginapan lain akan dikenakan tambahan satu peratus daripada kos penginapan mereka.
Langkah ini merupakan permulaan pelan berperingkat untuk memperkukuh infrastruktur pelancongan serantau.
Cukai itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pindaan kepada Kod Cukai Rusia pada Julai 2024, dengan penambahan bab baharu bertajuk "Cukai Pelancong," yang memberikan kuasa kepada pihak berkuasa wilayah untuk melaksanakannya sebagai levi tempatan.
Banyak wilayah, khususnya yang mempunyai industri pelancongan yang kukuh atau sedang berkembang, telah menyokong inisiatif berkenaan.
Di bawah rangka kerja semasa, kadar cukai pelancong bermula satu peratus pada 2025 dan dijangka meningkat secara berperingkat kepada tiga peratus menjelang 2027.
Sebagai sumbangan minimum, caj harian sebanyak 100 rubel (US$0.9) telah ditetapkan.
Walaupun hotel dan penyedia penginapan secara teknikal adalah pembayar cukai, kos ini akan dimasukkan ke dalam harga penginapan dan akhirnya ditanggung oleh pelancong.
-- BERNAMA