ISTANBUL: Mesyuarat rundingan damai yang seterusnya antara Rusia dan Ukraine akan diadakan di Istanbul, Turki, dan dipersetujui presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin pada Ahad.

Erdogan dan Putin membincangkan perkembangan terkini dan proses rundingan damai krisis Rusia-Ukraine menerusi perbualan telefon, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kementerian Komunikasi Turki.

Erdogan menegaskan keperluan gencatan senjata serta-merta dan pemulihan keamanan antara Rusia dan Ukraine serta langkah menangani krisis kemanusiaan di rantau ini

Turki akan terus memberikan sokongan kepada proses ini, kata Erdogan.

Bagaimanapun, tiada tarikh khusus diberikan untuk sesi mesyuarat itu.

Turki menjadi tumpuan dunia pada 10 Mac, berikutan negara itu menjadi tuan rumah kepada pertemuan peringkat tertinggi kedua-dua pihak membabitkan menteri luar Rusia dan Ukraine di bandar Antalya di selatan Turki, sejak krisis tercetus.

Turki mendapat pujian meluas atas usahanya menamatkan sengketa kedua-dua negara itu, berikutan negara itu menjalin hubungan mesra dengan Rusia dan Ukraine.

Krisis Rusia-Ukraine mendapat tentangan antarabangsa, dengan Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan United Kingdom serta beberapa negara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.

Sekurang-kurangnya 1,119 orang awam terbunuh dan 1,790 yang lain cedera manakala lebih 3.82 juta melarikan diri ke negara jiran, menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

-- BERNAMA