Sebuah jentera kamera yang dikawal dari jauh meluncur dalam air yang membias warna firus di sudut barat Lautan Hindi, merakam video yang disifatkan saintis sebagai hamparan tumput laut terbesar di dunia.
Menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP), aktiviti manusia ternyata memusnahkan rumput laut ini, dengan hamparan seluas padang bola lenyap setiap 30 minit di seluruh dunia.
Reuters melaporkan, saintis kini sedang bertungkus-lumus berkejar dengan masa untuk menyelamatkan baki rumput laut yang masih ada.
“Banyak yang tidak diketahui, termasuklah tentang berapa banyak rumput laut yang tingal. Jika anda lihat data pemetaan rumput laut ini, banyak yang sudah lompong,” kata saintis dari Universiti Oxford, Gwylum Rowlands.
Rumput laut (seagrass) berbeza dengan rumpai laut (seaweed). Rumpai laut adalah jenis alga multi-selular yang hanya ada sedikit atau tiada langsung tisu vaskular, sementara rumput laut tumbuh di dasar dan mempunyai akar, batang dan daun.
Kedua-duanya berbeza dari segi reproduksi, struktur dan cara memproses nutrien dan melarutkan gas.
Jurnal Nature Geoscience melaporkan, rumput laut memiliki peranan penting untuk melaraskan persekitaran lautan, menyimpan lebih daripada dua kali ganda karbon dari karbon dioksida per batu persegi berbanding hutan belantara di daratan.
Negara-negara yang berharap untuk mendapat kredit dalam pengurangan pengeluaran karbon dioksida boleh menilai rumput laut dan dan karbon yang ia simpan.
Rumput laut juga boleh menyeimbangkan paras keasidan air laut, memandangkan lautan menyerap lebih banyak CO2 dari atmosfera dan menjadi lebih berasid.
Oleh itu, daun hijau dalam air itu mampu memberi perlindungan kepada spesies bercangkerang dan juga ikan yang menjadikan itu habutatnya.
Dalam satu penyelidikan di University of California, rumput laut di pesisiran California dilihat mampu mengurangkan paras keasidan sehingga 30 peratus di kawasan perairan berkenaan.
Kewujudannya juga membantu membersihkan air yang tercemar, menyokong kitaran perikanan, melindungi kawasan pesisir dari hakisan, dan memerangkap plastik mikro.
“Lebih istimewa, spesies ini wujud di mana-mana sahaja,” ujar ketua penyelidik, Aurora Ricart.
Sementara rumput laut boleh ditemui di banyak pesisiran pantai di seluruh dunia, paras cetek di zon diversiti marin Saya de Malha, di Mascarene Plateau, membolehkan cahaya matahari menembusi hingga ke dasarnya.
Ini menjadikan kawasan itu seumpama padang rumput di Lautan Hindi, sekali gus membekalkan habitat perlindungan, pembiakan, pembesaran dan pemakanan buat ribuan spesies marin.
Kedudukan zon itu yang jauh menghindarkannya dari ancaman di pesisiran pantai, termasuk pencemaran dan penerokaan kapal. Begitupun, hamparan serupa di banyak lautan antarabangsa berdepan kerosakan akibat laluan kapal dan industri perikanan.
Pada Mac lalu, saintis dari beberapa institusi, termasuk dari Exeter University, Britain telah menjalankan penyelidikan bersama Greenpeace untuk menghimpunkan seberapa banyak data berkaitan rumput laut.
Meskipun belum mendapat gambaran keseluruhannya, kajian setakat ini menganggarkan terdapat hamparan rumput laut seluas 300,000 kilometer persegi, merentasi segenap benua kecuali Antartika.
Kajian-kajian lanjutan sedang iat dijalankan bagi mencari petunjuk tentang kaedah memulihara, menambah biak dan melindungi zon rumput laut bagi menyokong usaha menangani masalah perubahan iklim.
Para penyelidik juga mahu teus memastikan kewujudannya kerana manusia amat bergantung padanya supaya hayat bekalan sumber makanan dari laut, iaitu perikanan, dapat dipanjangkan untuk tahun-tahun mendatang.
** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !