SEBUAH bandar di Jepun mempunyai cara tersendiri untuk 'melawan' beruang yang menjadi ancaman kepada penduduk di kawasan luar bandar.

Apa yang dilakukan adalah dengan memasang robot berbentuk serigala yang dikenali sebagai ‘Robotic Monster Wolf’.

Memetik laporan media antarabangsa, "pengawal keselamatan" itu diletakkan di bandar Takikawa di pulau utara Hokkaido selepas beruang dikesan di kawasan kejiranan tersebut pada September lalu.

‘Robotic Monster Wolf’ itu digambarkan sebagai sebuah robot versi ganas dan menakutkan kerana mempunyai mata yang bersinar bewarna merah.

Lebih menyeramkan, wajah robot serigala itu berwarna hitam, selain ia mampu menghasilkan 60 kali bunyi ngauman serta memiliki pandangan yang mengerikan untuk menghalau beruang.

Robot yang dihasilkan oleh pembuat mesin, Ohta Seiki itu berfungsi apabila alat pengesan gerakan diaktifkan.

Ia kemudian akan menggerakkan kepala, menyalakan lampu dan mengeluarkan 60 bunyi yang berbeza bermula dari suara serigala hinggalah bunyi bising seakan jentera.

Kaedah tersebut nyata berkesan apabila pegawai bandar berkenaan memaklumkan tidak menemui seekor beruang pun sejak robot itu menjaga kawasan itu.

Difahamkan, setakat tahun ini sahaja puluhan serangan beruang berlaku, di mana dua daripadanya dilaporkan membawa maut.

Susulan insiden tersebut, kerajaan Jepun telah mengadakan perbincangan tergempar untuk mengatasi ancaman haiwan itu.

Pegawai bandar Takikawa menjelaskan beruang menjadi lebih aktif dan berbahaya ketika mereka mencari makanan sebelum hibernasi pada akhir November.

Sejak robot serigala itu dihasilkan pada 2018, sebanyak 70 unit telah terjual.

Jadi, ada sesiapa yang berdepan dengan ancaman haiwan liar? Mungkin boleh pertimbangkan untuk membeli robot ini.


** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !