ISTANBUL: Ribut musim sejuk yang kuat melanda Amerika Syarikat (AS) telah mengakibatkan kematian tiga orang di negeri selatan Mississippi dan menyebabkan puluhan ribu orang terputus bekalan elektrik, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pegawai dan media tempatan.

"Malangnya, kematian ketiga telah dilaporkan. Mohon doakan keluarga mereka dalam saat-saat sukar ini," kata Gabenor Mississippi Tate Reeves pada Rabu, mengesahkan kematian itu.

Mississippi sangat terjejas, menyaksikan angin kencang merobohkan talian elektrik dan pokok.

Ribut itu, yang membawa keadaan ribut salji ke Midwest, angin taufan ke Texas, puting beliung di Oklahoma dan Texas, dan risiko kebakaran hutan yang tinggi di pertengahan Atlantik, telah mendatangkan malapetaka dari dataran tengah hingga ke timur AS.

Gangguan bekalan elektrik di negeri itu menjejaskan 38,000 penduduk, dengan kru berusaha untuk memulihkan elektrik. Di St. Louis, Missouri, angin kencang menyebabkan 190,000 pelanggan tanpa kuasa, menurut KMBC News (stesen televisyen yang berpangkalan di Kansas City).

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan mengeluarkan pelbagai amaran ketika ribut itu berlangsung. Di Louisiana dan Mississippi, amaram puting beliung berkuat kuasa hingga petang Selasa, yang membawa kepada pembatalan perarakan Mardi Gras di Jefferson Parish dan pengubahsuaian kepada perayaan di New Orleans.

Texas juga menghadapi gangguan yang meluas, apabila angin taufan melanda negeri itu.

"Ribut musim sejuk yang besar akan terus membawa bahaya yang meluas hingga malam Rabu, termasuk angin yang merosakkan, keadaan ribut salji, cuaca buruk dan banjir kilat setempat dari tengah ke timur AS," perkhidmatan cuaca memberi amaran.

Kesan ribut itu dirasai di seluruh negara, dengan tiupan angin kencang mencecah 113 kilometer sejam (70 batu sejam) di beberapa lokasi di seluruh dataran dan Midwest.

"Perjalanan harus dihadkan kepada kecemasan sahaja. Jika anda mesti melancong, bawa kit survival musim sejuk bersama anda. Jika anda terkandas, kekal dalam kenderaan anda," gesa perkhidmatan cuaca.

Di Iowa, keadaan ribut salji menjadikan perjalanan sangat berbahaya, dengan angin bertiup sehingga 105 kph (65 mph).

Gabenor Tim Walz dari Minnesota mengaktifkan Pengawal Kebangsaan negeri itu ketika salji turun beberapa inci semalaman, dengan salji berterusan di bahagian Kansas, Nebraska, Missouri, dan bahagian atas Midwest.

Walaupun salji reda di beberapa kawasan, perkhidmatan cuaca memberi amaran bahawa salji yang bertiup akan terus mengurangkan penglihatan.

Sebagai tambahan kepada bahaya musim sejuk, bahagian Texas menghadapi risiko kebakaran hutan yang tinggi akibat angin kencang, kelembapan rendah dan suhu panas. Perkhidmatan cuaca mengeluarkan amaran bendera merah di Texas Barat, menandakan peningkatan bahaya kebakaran hutan.

Dengan pemantauan puting beliung yang dikeluarkan untuk beberapa bahagian Carolina dan Virginia di pantai timur pada Rabu, serta gangguan perjalanan di beberapa negeri, ribut itu mengancam penduduk di seluruh negara, dari pantai timur hingga ke pantai barat.

-- BERNAMA