'Rasa macam paru-paru nak meletup' - Pesakit gambarkan derita dijangkiti COVID-19

Asyraf Roslan
Februari 21, 2020 08:37 MYT
Pesakit menggambarkan COVID-19 sama seperti selesema namun gejalanya lebih buruk. -Gambar fail
SEJAK awal Disember tahun lalu, kes jangkitan wabak COVID-19 semakin meningkat sehingga menyebabkan ribuan kes kematian.
Namun, pasti ramai yang tertanya-tanya bagaimana wabak ini boleh meragut nyawa mangsa.
Menurut seorang pesakit warga Palestin yang dijangkiti virus itu, apa yang boleh digambarkan ialah penyakit ini sama seperti selesema namun gejalanya lebih buruk.
Muhammad Abu Namus yang menuntut bidang perubatan di Wuhan, China berkata pesakit yang dijangkiti wabak ini akan menderita kesakitan.
"Gejala-gejala ini sangat menyakitkan.
"Pesakit akan rasa seolah paru-paru seperti ingin meletup keluar dari badan," katanya dalam temu bual dengan Sky News.
Dia turut menjelaskan bahawa wabak ini boleh memusnahkan paru-paru.
Abu Namus kini sedang dirawat di Hospital dengan antivirals, ubat-ubatan untuk menguatkan sistem imunnya selain menjalani ujian X-ray sekali setiap tiga hari.
Bagi seorang lagi mangsa wabak COVID-19, David Abel berkata jangkitan virus ini agak berbahaya bagi mereka yang berusia.
"Jika dijangkiti wabak ini, orang yang lebih berusia menghadapi risiko yang tinggi kerana sistem imun sudah mula lemah," katanya kepada media.
David merupakan salah seorang mangsa yang dijangkiti dalam kapal pelayaran Diamond Princess yang berlabuh di Jepun.
Sejak awal bulan Disember 2019, lebih 75,241 kes COVID-19 dikesan dan 2,131 orang telah meninggal dunia.
#China #COVID-19 #David Abel #koronavirus #Muhammad Abu Namus #wabak #warga Palestin #Wuhan
;